Gelanggang bola keranjang baharu hadiah kerajaan GPS

SARIKEI: Kerajaan Sarawak melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk membina  gelanggang bola keranjang tertutup bagi kegunaan sukan penduduk di Taman Meranti di sini.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pembinaan gelanggang baharu untuk Persatuan Bola Keranjang Jalan Meranti itu  akan memudahkan mereka melaksanakan aktiviti di samping mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan dalam sukan bola keranjang.

“Projek bina baharu kemudahan sukan  ini membuktikan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengabaikan rakyat. Malah, kita akan sentiasa melakukan yang terbaik bagi memastikan rakyat mendapat faedahnya.

“Sehubungan itu, saya menggesa agar kemudahan ini  digunakan dengan sebaik mungkin.  Ia juga harus dijaga dengan sebaik-baiknya supaya dapat dimanfaatkan dalam tempoh jangka panjang,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Jalan Meranti, Lau Din Kiong
berkata, projek itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna  tanpa bantuan dan inisiatif ADUN N.45 Repok yang juga Presiden Persatuan Bola Keranjang Bahagian Wilayah.

Lebih menggembirakan katanya, apabila projek itu mengakhiri penantian mereka selama kira-kira 20 tahun.

“Kami amat berterima kasih kepada Yang Berhormat (YB) kerana mendengar suara hati kami dan berjuang mendapatkan peruntukan untuk membina gelanggang ini.Tidak cukup dengan itu, beliau juga memberi sokongan dengan menyalurkan peruntukan tahunan dan menaja pasukan bola keranjang menyertai pertandingan.

“Sehubungan itu, saya menyeru penduduk terus memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan DUN Repok.  Beliau seorang pemimpin prihatin dan meluluskan banyak peruntukan projek untuk rakyat,” tambahnya.