
KUCHING: “Apa yang kelakar sangat, YB? Sila kongsi. Jangan ketawa sendiri.”
Demikian sindiran pedas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap Adun Pending, Violet Yong berkaitan tindakan Adun Pending itu menunjukkan dia memegang gambar tisu jenama Premier sambil tersenyum seolah-olah ia sesuatu yang melucukan.
Gambar itu memperlihatkan lokasi di dalam Dewan Undangan Negeri.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam meluluskan pindaan Perlembagaan negeri bagi pertukaran nama Ketua Menteri kepada Premier dan Menteri Muda kepada kepada Timbalan Menteri dengan mendapat undian dua pertiga hari ini.
Najib melalui satu catatan di Facebooknya berkata, jawatan Premier bukan bahan ketawa, kerana istilah itu digunakan di negara seperti Australia dan China.
Kata beliau lagi, langkah menamakan semula gelaran Ketua Menteri kepada Premier perlu disokong sebagai solidariti dengan Perjanjian Malaysia 1963, yang mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam persekutuan.
RUU itu dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni persembahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dan disokong oleh Adun GPS dan dibantah oleh enam lagi Adun pembangkang.