BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Maghribi berikutan gempa bumi kuat 6.8 magnitud yang melanda kawasan terpencil pergunungan High Atlas, mengorbankan lebih 2,000 orang dan menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal.
Perdana menteri turut mengesahkan kesediaan kerajaan Thailand untuk memberikan bantuan jika diperlukan.
Dalam satu kenyataan, Srettha turut mengarahkan Kementerian Luar negara itu agar segera membantu rakyat Thailand yang tinggal di kawasan terjejas gempa bumi dan sentiasa memaklumkannya mengenai situasi itu.
Gempa bumi dahsyat, mengakibatkan paling banyak kematian dalam beberapa dekad, melanda banjaran gunung High Atlas sejurus selepas 11.00 malam waktu tempatan pada Jumaat (2200 GMT) pada kedalaman yang agak cetek 18.5 kilometer, lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pusat gempa terletak kira-kira 70 kilometer barat daya Marrakesh, bandar keempat terbesar di negara Afrika Utara dan juga destinasi pelancongan yang popular.
Selepas gempa bumi kuat itu, Maghribi pada Sabtu mengisytiharkan tiga hari bergabung di seluruh negara dan bendera akan dikibarkan separuh tiang di semua kemudahan awam sepanjang tempoh tersebut. – BERNAMA