BINTULU: Generasi muda perlu didedahkan lebih awal kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memastikan mereka bersedia mengisi keperluan pekerjaan masa depan yang semakin dipacu teknologi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, pembangunan pesat Bintulu sebagai hab industri strategik Sarawak dalam sektor tenaga hijau, minyak dan gas, teknologi hidrogen serta pembuatan maju memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan STEM.
Beliau berkata, STEM bukan sekadar melibatkan pembelajaran sains dan matematik, sebaliknya membentuk pelajar menjadi individu kreatif, berfikiran kritis serta mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah dan menghasilkan inovasi.
“Apabila kita bercakap mengenai STEM, ia bukan sekadar mengenai sains atau matematik semata-mata. STEM mengajar pelajar untuk berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah, berinovasi dan menterjemahkan idea kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Hampir semua perkara yang kita gunakan hari ini, daripada telefon pintar, sistem pengangkutan, kemudahan kesihatan hinggalah kepada operasi industri moden, lahir daripada pengetahuan dan inovasi dalam bidang STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program IMechE STEM Outreach 6.0 anjuran Curtin University Malaysia IMechE Student Chapter di SMK Bandar Bintulu, hari ini.
Beliau menambah, usaha memperkasakan pendidikan STEM bukan sahaja penting untuk pembangunan individu, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam membangunkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
Justeru, katanya, pendedahan awal kepada STEM amat penting bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dipacu kemajuan teknologi.
Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan sepenuhnya program berkenaan dengan bersikap ingin tahu, berani bertanya soalan serta tidak takut melakukan kesilapan ketika proses pembelajaran.
“Setiap ciptaan dan inovasi hebat bermula daripada seseorang yang sanggup belajar, meneroka perkara baharu dan terus mencuba walaupun berdepan cabaran,” katanya.
Pada masa sama, Johnny Pang merakamkan penghargaan kepada Curtin University Malaysia IMechE Student Chapter kerana berjaya menganjurkan program tersebut buat kali keenam, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan dalam mempromosikan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar sekolah.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak SMK Bandar Bintulu, guru, sukarelawan dan penaja yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
Program IMechE STEM Outreach 6.0 merupakan platform yang memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai dunia STEM melalui pelbagai aktiviti interaktif, sekali gus menyemai minat terhadap bidang yang menjadi antara pemacu utama pembangunan negara dan Sarawak pada masa hadapan.






