KUCHING: Sejarah penubuhan Malaysia perlu dimasukkan secara menyeluruh dan terperinci ke dalam silibus pendidikan negara supaya generasi muda lebih memahaminya dan bukan hanya belajar untuk lulus peperiksaan sahaja.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana sejarah yang terdapat dalam buku teks sekarang hanya menulis fakta, bukan secara menyeluruh mengenai sejarah sebelum dan selepas penubuhan Malaysia.
“Saya sangat bersetuju untuk silibus dan sistem pendidikan negara yang mengajar sejarah perlu diubah kerana saya melihat tidak banyak mengenai sejarah penubuhan Malaysia yang ditulis. Ia cuma lebih kepada fakta.
“Bahkan sejarah itu tidak menyeluruh dan saya agak hairan mengapa perkara tersebut terjadi sedangkan pada zaman saya belajar dahulu tidak begini, buka sejarah sangat tebal.
“Perkara ini menyebabkan generasi muda dan golongan pelajar kita tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkara terbabit, sekali gus mereka hanya belajar mengenainya untuk lulus peperiksaan sahaja, asalkan dapat gred A, itu sahaja yang penting bagi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pembentangan Khas Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak (PASS) 2023 di sini, hari ini.
Justeru tegas beliau, untuk mengatasi isu tersebut, beliau mencadangkan agar pakar-pakar sejarah Sarawak dan Malaysia seperti Datuk Dr Sanib Said dan beberapa profesor dan pendidik tempatan yang lain menulis mengenai sejarah tersebut untuk diterbitkan dalam sistem pendidikan negara.
Untuk berita terperinci, sila langgani e-paper atau dapatkan akhbar Suara Sarawak di pasaran.