Generasi terakhir gelang tembaga

KUCHING: Kami sudah biasa kerana sejak kecil kami memakai gelang tembaga ini.

Kami merupakan generasi terakhir yang masih mengamalkan budaya tradisi ini.

Ini antara dijelaskan oleh Tawud Luhan, 70, ditanya mengenai perasaannya apabila memakai gelang tembaga itu di lengan dan kakinya.

Menurutnya, lengan dan kakit wanita Bidayuh akan dililit dengan gelang tersebut dengan saiz yang sama sejak kecil.

“Saya memakai gelang ini sejak kecil lagi. Nenek dan ibu saya sendiri turut mengamalkan budaya ini.

TAWUD LUHAN

Mereka yang membiasakan saya memakai sejak umur enam tahun lagi.

“Ibu saya yang bertanggungjawab memasangkan gelang ini dan mencucinya.

“Saiz untuk gelang kaki dan tangan ini juga harus sama sejak awal pemasangan walaupun umur meningkat,” katanya.

Jelasnya, gelang akan dibuka dalam tempoh dua hingga tiga tahun untuk ditukar dengan gelang baharu namun harus memakai saiz yang sama.

“Kami akan membeli wayar tembaga kosong khas untuk membuat gelang di kedai dengan saiz tertentu.

BERKILAT… Peluk menunjukkan cara mencuci gelang menggunakan daun.

“Proses penjagaannya juga mudah iaitu hanya perlu mencuci dengan limau atau menggosok dengan berus dawai,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, gelang tembaga itu bukan untuk kecantikan semata-mata, tetapi akan dipakai untuk menyambut ketibaan penduduk membawa padi balik ke kampung.

“Mengikut tradisi kaum Bidayuh, kami yang memakai gelang ini ketika menunggu penduduk yang balik membawa padi… sambil menghidangkan minuman.

“Konsep ini jelas diamalkan ketika kaum Bidayuh menyambut Hari Gawai,” ujarnya.

Namun begitu, budaya gelang tembaga itu tidak lagi diamalkan oleh generasi hari ini.

PELUK ABEH

Katanya lagi, tidak ramai yang mahu memakai gelang itu kerana sakit dan sukar untuk memakai jika hendak sekolah.

“Saya sudah menyuruh anak-anak saya memakai gelang seperti saya tetapi mereka enggan kerana sakit.

“Selain sakit, mereka tidak boleh pakai sebab perlu pergi ke sekolah,” jelasnya lagi.

Sementara itu, menurut rakannya Peluk Ubeh, 67, yang juga merupakan antara individu terakhir yang mengamalkan pemakaian gelang tembaga itu, terdapat sesetengah pihak yang membenci mereka dengan mengatakan bahawa mereka memakai gelang itu hanya untuk wang.

“Memang ada pihak yang bercakap di belakang ketika gambar kami dijadikan mural di dinding bangunan.

“Niat kami tidak lain selain bangga untuk memaparkan budaya Bidayuh yang hampir hilang ini untuk tatapan masyarakat,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak