KUCHING: Seramai tujuh individu yang disyaki aktif menjalankan kegiatan curi motosikal dan pecah rumah tumpas selepas mereka ditahan di lima lokasi berasingan di sekitar Kuching pada 24 hingga 29 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun iti dicekup dalam Ops Lejang Jack.
“Semua suspek mempunyai rekod jenayah kekerasan, jenayah harta benda dan dadah, manakala ketua sindiket iaitu seorang lelaki mempunyai 22 rekod jenayah lampau.
“Susulan tangkapan ini, polis turut merampas tiga buah motosikal dan komponen yang tidak sempat dijual kepada pembeli,” katanya dalan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching hari ini.
Jelas beliau, dengan tertumpasnya geng Jack yang mula bergerak aktif sejak penghujung tahun lalu itu, Polis berjaya menyelesaikan 23 kes curi motosikal dan satu kejadian pecah rumah yang membawa kerugian sekitar RM108,000.
Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun sama.
Ujarnya, tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 juga akan dijalankan serentak di dalam siasatan ini untuk kesemua suspek.
