SIBU: Geng Joseph yang bergiat aktif dalam kes samun rumah sarang burung walet di sini sedang giat diburu pihak polis.
Rentetan itu, PDRM Daerah Sibu menubuhkan pasukan khas bagi membanteras dan menjejaki geng tersebut yang telah mengaut sekitar RM53,400 hasil samun dalam enam kes yang dilaporkan sebelum ini.
Lima daripadanya ialah pecah dan curi rumah sarang burung manakala satu lagi kes samun sarang burung. Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, tiga anggota geng ini yang sedang diburu ialah Tadung Sawin, 31, Sayun Dawai, 49, dan Jeffery Sulan, 42.
Ketiga-tiganya amat dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun rumah burung walet di sekitar bandar dan kawasan pedalaman di sini.
“Mereka anggota Geng Josepeh paling dikehendaki dan dalam operasi khas kita pada Mei lalu, polis berjaya memberkas anggotanya yang lain berumur 33 tahun serta tiga lagi rakannya berumur 41 tahun hingga 21 tahun.
“Kesemua suspek masih dalam tahanan reman dan siasatan masih diteruskan, termasuk tindakan mengenal pasti lokasi jenayah yang dilakukan,” katanya.
Hasil daripada tangkapan tersebut, jelasnya lagi, polis berjaya merampas sebuah kereta, sebuah gitar, sebatang pengikis dan satu unit telefon bimbit dengan nilai keseluruhan sekitar RM20,000.
Beliau mendedahkan, geng ini menggunakan modus operandi dengan memilih rumah sarang burung yang berada di luar bandar Sibu serta melakukan curi dan samun secara berkumpulan.
Ketika melakukan kegiatan tersebut, geng ini membawa peralatan seperti tukul, parang, pengikis dan lampu suluh. “Hasil siasatan awal juga polis mendapati kumpulan ini sangat agresif dan membahaya.
“Mereka akan bertindak mengikat penjaga rumah burung menggunakan tali, memukul serta mengugut mangsa menggunakan objek tajam seperti parang sekiranya mendapati penjaga rumah sarang burung berada di lokasi yang disasarkan,” tegasnya.
Stanley memberitahu, geng ini sangat aktif pada waktu malam dan awal pagi terutamanya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya, ini kerana pemilik rumah burung tidak dapat datang melawat memandangkan pergerakan mereka dihadkan. “Kita memohon orang ramai yang mengetahui kedudukan ketiga-tiga suspek ini agar tampil menyalurkan maklumat kepada kami di balai polis berdekatan,” katanya.