
KUCHING: Adun Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Adun Saribas, Mohammad Razi Sitam masing-masing dilantik sebagai timbalan pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Kedua- duanya menerima surat pelantikan daripada Timbalan Premier Sarawak yang juga pengerusi agensi berkenaan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada mesyuarat di sini hari ini.
Uggah semasa mempengerusikan mesyuarat itu turut mengumumkan pembentukan beberapa jawatankuasa kecil bagi memperkasakan agensi itu dalam melaksanakan pelbagai rancangan dan program pembangunannya.
Rentap ditugaskan untuk menjaga jawatankuasa kecil pembangunan infrastruktur manakala Mohd Razi akan mengendalikan jawatankuasa kecil sosial.
Adun Kabong, Mohd Chee Kadir pula akan menjaga sektor pelancongan, manakala Adun Beting Maro, Razaili Gapur menjaga sektor pembangunan dan usahawan.
Sementara itu, Adun Krian, Friday Belik bertanggungjawab menjaga sektor pertanian dan Adun Kalaka, Mohamad Duri ditugaskan menjaga jawatankuasa kecil utiliti.
Adun Lingga, Dayang Noorah Awang Sohor pula akan menjaga jawatankuasa kecil wanita.
Hadir sama, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, ketua pegawai eksekutif BDDA Abang Muhammad Turki dan Residen Betong, Richard Micheal Abunawas.
