Geran untuk pelbagai pertubuhan Pulau Bruit

SARIKEI: Pelbagai pertubuhan di Pulau Bruit menerima sumbangan Bantuan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Parlimen Tanjong Manis berjumlah RM89,000.
Sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab dalam lawatan kerja beliau, semalam. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Semop menerima sumbangan RM50,000 untuk baik pulih gelanggang futsal kampung berkenaan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan RM20,000 untuk membaik pulih Dewan Masyarakat Kampung Bruit dan RM10,000 kepada JKKK Kampung Kut bagi tujuan yang sama.
Dalam pada itu, JKKK Kampung Sebako menerima RM2,500 untuk membeli peralatan serta membantu aktiviti gotong-royong anjuran mereka.
Prasarana pendidikan di kawasan Parlimen Tanjong Manis turut mendapat perhatian pemimpin ini apabila beliau menyumbangkan sebanyak RM7,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Salah Kechil untuk menaik taraf prasarana sekolah tersebut.
Dalam siri lawatan itu, beliau turut berkesempatan menunaikan solat zuhur berjemaah bersama-sama rakyat di Masjid Al-Qudwah Bruit dan menziarahi Dahlan Sahada yang mengalami kecederaan selepas kemalangan.
Di setiap lokasi yang dilawatinya, beliau berkongsi situasi politik semasa sambil menggesa penduduk agar berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid 19.