Gereja sedia patuhi norma baharu

KUCHING: Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) menyambut baik pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) mengenai pembukaan semula gereja pada 20 Jun ini.

Pengerusinya Uskup Agung Simon Poh berkata, keputusan itu merupakan berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh jemaah gereja meskipun masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya yakin semua gereja telah bersedia mematuhi norma baharu termasuk penjarakan sosial satu meter di antara satu sama lain. “Tindakan ini dapat mengurangkan kapasiti penggunaan bangunan gereja menjadi seperempat atau sepertiga,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

Menurut Poh, beberapa imam dan ahli gereja juga mulai melaksanakan beberapa garis panduan di beberapa ruangan gereja untuk panduan ramai. Ia termasuk penyusunan tempat duduk, aliran pergerakan di gereja, pemeriksaan suhu, membentuk pasukan untuk menjaga kebersihan tandas dan sebagainya.

“Langkah ini adalah untuk memastikan keselamatan pengunjung gereja sentiasa selamat dan bebas daripada penularan wabak Covid-19. “Untuk fasa awal, gereja akan dibuka secara beperingkat untuk memudahkan pengamalan norma baharu kepada jemaah yang hadir,” katanya.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa pihaknya akan terus mencari inisiatif untuk memudahkan semua jemaah dapat hadir beribadah seperti biasa pada hari Ahad.

Bagi golongan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun ataupun individu yang mempunyai penyakit kronik termasuk warga emas, mereka disarankan untuk menjalani ibadah di rumah masing-masing untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Poh turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa atas peluang dan pertimbangan yang diberi, khususnya pihak JPBN. Beliau berharap masyarakat dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara.