Gibson Billy sandaran Sarawak United FC II

PAKAR lontar jarak jauh, Gibson Billy akan menerajui jentera pertahanan skuad Sarawak United FC II (SUFC II) dalam kempen Piala Presiden 2021.

Kehadiran semula pakar lontar jarak jauh itu ternyata memberi nafas baharu ke kem skuad kendalian Ahmad Fairuz Yunus itu.

Demikian dijelaskan oleh pengurus pasukan, Phillip Jabu ketika ditemui arena Suara Sarawak semalam. Sebelum ini, Gibson menarik diri, namun mengubah keputusan untuk kembali beraksi.

“Kami telah mengadakan pertemuan khas dengan beliau baru-baru ini. Hasil perbincangan, beliau bersetuju untuk kembali bersama kita,” ujar Phillip.

Menurut Phillip, pemain kelahiran Kampung Lunying, Sebuyau itu mula menyertai kem latihan Isnin lalu.

Phillip yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) lega dan gembira dengan perkembangan positif itu.

Katanya, kudrat Gibson amat diperlukan dalam pasukan Sarawak B kerana memiliki kelebihan dan bakat luar biasa.

“Diharap kehadiran semula beliau akan dapat mencetus semangat berganda kepada pasukan,” tambah Phillip lagi.

Suara Sarawak