Gilap bakat golongan istimewa

KESEDARAN ibu bapa negara ini dalam mengetengahkan bakat anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya dalam bidang sukan masih rendah berbanding negara luar.

Antara contoh kejayaan ialah atlet Olimpik Khas yang telah mewakili Sarawak ke acara bola sepak Piala Borneo pada Oktober lepas yang berjaya membawa balik piala kemenangan.

Selain itu, Karnival Orang Kurang Upaya (Kokus) yang diadakan buat julung kalinya oleh Kerajaan Sarawak berjaya mencungkil bakat OKU untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Antaranya ialah Bryan Junency Gustin, atlet angkat berat kelahiran Sarikei yang berjaya memecah rekod baharu kebangsaan dengan angkatan 175 kilogram bagi kategori 72 kilogram. Beliau turut memecah rekodnya terdahulu iaitu 170 kilogram.

Bukan setakat itu sahaja, abang kepada Bryan, iaitu Bonney Bunyau Gustin turut mengharumkan nama negara apabila memegang rekod dunia remaja bagi kategori 65 kilogram dalam sukan angkat berat. Kedua-dua adik-beradik tersebut menjadi tumpuan dalam para Sukma di Perak musim lalu kerana masing-masing berjaya memecah rekod kebangsaan.

Bonney juga disahkan layak menempah tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bersama-sama dua rakannya yang lain seperti Muhammad Nur Syaiful Zulkifli (renang) dan Wiro Julin(memanah). Selain daripada itu, banyak lagi atlet OKU dari Sarawak yang memegang rekod antarabangsa seperti Nopi Herdi dalam sukan trek dan padang, Aisyah Mazlan(Bocey) dan beberapa atlet paralimpik yang lain.

Dalam menempah nama hingga ke peringkat antarabangsa oleh atlet OKU kita, masih banyak lagi bakat baharu yang belum diketengahkan disebabkan beberapa faktor. Antaranya faktor utama kesukaran untuk mencari pelapis muda atlet OKU yang baharu ialah sokongan dan dorongan daripada keluarga khususnya ibu bapa.

Masih banyak lagi ibu bapa di negeri ini kurang kesedaran dalam membantu anak-anak istimewa mereka untuk menunjukkan bakat dan sesetengah ibu bapa malu mempunyai anak OKU. Menurut Pengurus Olimpik Khas, Datin Dayang Mariani Abang Zain, ibu bapa di Sarawak kurang memberi dorongan kepada anak OKU mereka dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada guru untuk menguruskan mereka yang mengikut pertandingan sukan.

Manakala Pegawai Masyarakat Bahagian Limbang, Haslinda Supu juga menyeru ibu bapa agar memberi kerjasama kepada pihak pengurusan kebajikan. Masyarakat dan Majlis Sukan mengetengahkan bakat anak-anak OKU untuk bergiat aktif dalam bidang sukan supaya dapat membantu keluarga sekiranya mereka berjaya kelak.

“Kita yakin melalui sukan juga dapat menjana sesuatu kepada keluarga mereka melalui kejayaan yang dicapai,” ujarnya. Bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan, khususnya dari pedalaman mungkin agak sukar untuk menghantar dan mengeluarkan anak-anak OKU dari kelompok masyarakat mereka.

Tambahan, kesukaran mendapatkan informasi mengenai bantuan daripada Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan Negeri di kawasan pedalaman juga menyukarkan ibu bapa untuk mendaftarkan anak OKU mereka walaupun ia sebenarnya telah diuar-uarkan.

Pandangan negatif oleh segelintir masyarakat sekeliling terhadap anak OKU juga menyebabkan ibu bapa menolak untuk mendaftarkan anak sebagai OKU walaupun dimaklumkan tentang pelbagai bantuan. Terdapat ibu bapa yang berkemampuan membiayai anak mereka juga enggan menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan dan latihan walaupun telah mendaftar sebagai OKU kerana kurang kepercayaan terhadap pihak pengurusan.

Mereka memilih untuk membiarkan anak-anak terperap di rumah berbanding mendedahkan mereka kepada aktiviti bersama-sama masyarakat.

Namun, perubahan zaman yang diharungi ibu bapa dahulu dan kini yang lebih moden memberi sedikit kesedaran kepada ibu bapa yang lebih berpendidikan dan bekerjaya dalam membantu anak OKU mencapai cita-cita mereka.

Jika dahulu adik-beradik kepada anak OKU tidak mahu menyokong aktiviti adik mereka, namun kini berubah kepada lebih menyokong setiap pertandingan sukan yang diminati, malah seluruh ahli keluarga akan turun padang memberi semangat.

Walaupun kesedaran mula hadir dalam kalangan ibu bapa namun ia masih rendah di negeri ini dan perlu dipertingkatkan supaya anak OKU tidak tercicir dari masyarakat.