Gilap potensi diri untuk jadi modal insan terbaik

SARIKEI: Potensi golongan muda wajar dibangunkan melalui pelbagai ruang supaya menjadi individu berkualiti dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, sebagai generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa depan, generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan.

Pada masa yang sama katanya, mereka berperanan sebagai penggerak perubahan dan penghubung sumber dalam konteks pembangunan secara berterusan.

“Kerajaan Sarawak tidak mengabaikan golongan muda sebaliknya sentiasa menyediakan peluang kepada mereka untuk berjaya sekaligus menjadi modal insan berkualiti,” katanya pada Program Hari Ini Untuk Esok (T4T) Pertiwi, di Dewan Perpaduan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Len Talif berkata, langkah proaktif Kerajaan Sarawak membina laluan baharu dari Sarikei ke Tanjung Manis bakal memberi manfaat besar kepada rakyat.

Len Talif mengabadikan kenangan beramai -ramai bersama peserta.

Katanya, usaha itu bukan sahaja akan menyenangkan pergerakan tetapi juga menjadikan urusan keluar masuk hasil pertanian, perikanan dan perkhidmatan menjadi lebih mudah.

“Begitu juga dengan usaha kita meningkatkan prasarana digital yang memberi manfaat besar kepada anak muda dalam tempoh jangka panjang.

“Sehubungan itu, saya menggesa anak muda agar merebut peluang yang disediakan kerajaan ini bagi meningkatkan kemampuan diri dengan menceburi bidang kemahiran dan peniagaan agar mampu berdaya saing bersama masyarakat luar,” ujarnya.

Program selama tiga hari itu disertai seramai 132 orang peserta berusia antara 16 hingga 34 tahun.

Program bertujuan mentransformasikan belia melalui aktiviti yang mencabar minda, melonjak kreativiti berfikir, ‘berfikir di luar kotak’ di samping menyemai semangat setiakawan dalam kalangan peserta.

Peserta menerima sijil penyertaan masing- masing.

 

Program mendapat sambutan belia setempat.

Suara Sarawak