ARTIKEL

GLC, GLIC kurangkan pelaburan di luar negara – Anwar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengurangkan pelaburan di luar negara sebaliknya meningkatkan pelaburan dalam negara.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan (MoF) di sini semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bagaimanapun bersedia memberi kelonggaran kepada GLC dan GLIC untuk membuat pelaburan di luar negara sekiranya ada keperluan.

“Saya beri beberapa arahan untuk harus juga ada penekanan pengurangan pelaburan di luar negara kerana kalau alasannya tidak menarik maka apa kemunasabahan kita mengadakan kempen menarik pelabur asing ke Malaysia,” kata beliau.

Anwar juga telah meminta MoF dan Pantau MADANI menyelaraskan usaha supaya GLIC dan GLC melaksanakan pelaburan strategik selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Saya meminta kerjasama juga GLIC dan GLC supaya dapat berinteraksi secara langsung dengan pimpinan untuk memastikan pelaksanaan program-program (mereka) mengikut dasar yang kita tentukan.

“Saya beri contoh transisi tenaga, transformasi digital itu sangat mendesak dan kritikal bagi negara. Ia memerlukan penglibatan semua (kerana) transformasi digital itu, kalau kita tidak pantas dan pesat membuat perubahan, sistem pendidikan kita, tatakelola kita, akan menyebabkan kita ketinggalan,” kata beliau.

Anwar berkata dalam membuat keuntungan, GLIC dan GLC juga perlu mengambil tanggungjawab korporat lebih besar dalam pembangunan negara termasuk meningkatkan tahap kebajikan pekerja mereka.

“Saya ingat lagi laporan awal apabila kita menswastakan Tenaga (Tenaga Nasional Bhd), Telekom (Telekom Malaysia Bhd), saya kata mereka bila diswastakan, catat keuntungan besar, sepatutnya menteri kewangan ucap terima kasih.

“Oleh itu, saya ucap terima kasih tetapi saya tanya masalah mereka (pekerja) tidak selesai, umpamanya kemiskinan tegar keluarga di bawah Tenaga, Telekom, apakah ia masalah kementerian, tentunya masalah syarikat.

“Ada 15,000 pekerja, 5,000 pekerja tiada rumah, tak mungkinkah kita fikir ada rencana untuk membina perumahan untuk pekerja sendiri?

“Kita catat keuntungan dengan cakap soal pengkomersialan dan kita bebankan kelompok yang agak pendapatan rendah ini kepada kementerian dan kerajaan untuk menangani, saya tidak fikir itu munasabah,” kata beliau.

Justeru, Anwar mahu dalam tempoh sebulan ini, GLIC dan GLC memberikan laporan kepada kerajaan berkaitan perancangan mereka mengenai rencana pelaburan, Bumiputera, perumahan pekerja dan pendidikan termasuk meningkatkan mutu pendidikan.

Pada majlis itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada dua agensi utama kerajaan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana berjaya melepasi sasaran kutipan hasil yang ditetapkan tahun lepas.

Pada tahun lepas, LHDN berjaya mengutip sebanyak RM183 bilion berbanding RM175 bilion pada 2022 manakala JKDM pula mengutip hasil mencecah RM55 bilion berbanding RM53 bilion pada tahun sebelumnya. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Capai sasaran tingkatkan pendapatan komuniti tani

KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) serta jabatan dan agensi di bawahnya diseru supaya terus komited dan berdedikasi menyampaikan khidmat kepada rakyat

Lebih 123,000 syarikat berdaftar dengan CIDB

KUALA PERLIS, Perlis: Sejumlah 132,579 syarikat telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) setakat Januari lepas. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick,

Sasaran perdagangan, pelaburan dapat dicapai

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis sasaran perdagangan dan pelaburan yang ditetapkan untuk tahun ini dapat dicapai meskipun penyusutan nilai semasa ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),

Ekonomi hijau S’wak jadi contoh baik global

KUCHING: Sarawak menunjukkan contoh baik kepada seluruh dunia dalam membangunkan ekonomi hijau, kata Pengerusi Majlis Perdagangan dan Pelaburan Komanwel (CEIC), Lord Jonathan Peter Marland. Lord

BERITA TERBARU