Gloria dinobat Kumang Gawai Dayak 2019 SDNU

Kumang Gawai Dayak 2019 SDNU, Gloria (tengah) bersama Claudia (kiri) dan Lovieana (kanan).

KUCHING: Gloria Malong dimahkotakan sebagai Kumang Gawai Dayak 2019 Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

Gadis Iban dari Sibu itu yang menuntut di Kolej Vokasional Sibu membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Manakala penuntut Politeknik Kuching dari Betong, Claudia Michelle Sena Billy Isang, 21, memenangi tempat kedua dan konsultan kecantikan, Lovieana Jin@Mili, 19, dari Sibu di tempat ketiga.

Claudia dan Lovieana masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan RM1,500.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh isteri Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom, Datin Sri Loreta Sawot.

Pertandingan Kumang Gawai Dayak 2019 SDNU berlangsung dalam Majlis Makan Malam SDNU di Pusat Ekumeni Kristial di sini, semalam.

Seramai 11 gadis-gadis cantik dari seluruh Sarawak berentap dalam final tersebut, yang turut disaksikan oleh Rundi, Presiden SDNU Tan Sri William Mawan Ikom dan timbalannya merangkap pengerusi pengelola majlis, Dr Johnical Rayong Ngipa.

Peserta lain terdiri daripada Jesse Diana Jantai, Felicia Merai Andrew, Jasmine Sha-Sha Salleh, Muna Lassandra King Robert Tira, Clara Dukau Augustine Merikan, Phoebe Ivory Siew, Claudia Jara Luke dan Noryshea Nala Lexline Alexander.

Kesemua mereka juga membawa pulang hadiah saguhati wang tunai RM300.

Pertandingan ratu cantik ini diadakan bersempena Karnival Gawai Dayak SDNU 2019 bermula 19 Mei lalu.

Suara Sarawak