Godaan lelaki tampan

KUCHING: Gambar profil lelaki tampan selain pujuk rayu dan kata-kata manis digunakan sindiket Love Scam mencairkan hati ramai wanita di Sarawak yang akhirnya meleburkan wang simpanan mereka.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, wanita cenderung menjadi mangsa penipuan cinta durjana laman sosial itu golongan berusia lebih-lebih lagi dalam lingkungan usia 50 dan 60-an tahun.

Malah katanya, terdapat juga wanita yang berpendidikan tinggi dan golongan profesional seperti peguam, doktor dan guru termasuk isteri orang masuk ke dalam jaring perangkap sindiket licik berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan wanita supaya sentiasa berwaspada agar tidak mudah terpukau oleh sindiket Love Scam yang sentiasa dahagakan mangsa terutama golongan sudah berusia kerana mempunyai harta serta wang banyak.

“Sebagai wanita, kita harus berhati-hati dan sentiasa berasa curiga dengan lamaran jejaka tampan dalam laman sosial terutama Facebook supaya tidak menjadi mangsa,” tegasnya.

Gambar hiasan

“Bukan senang mencari dan mengumpul duit untuk simpanan hari tua atau pendidikan anak tetapi cair pujuk rayu gambar jejaka tampan sehingga lesap semua duit itu,” katanya lagi.

“Jangan kerana cinta menjadikan kita hilang wang simpanan, harta dan hubungan kekeluargaan musnah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Menangani Masalah Isu Dadah dan Substance serta Love Scam di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Fatimah berkata, sukar membanteras jenayah Love Scam jika golongan wanita tidak mempunyai kesedaran mengenainya.

Justeru, beliau menggesa semua pihak termasuk ketua masyarakat supaya menyebarkan maklumat di kawasan masing-masing bagi mewujudkan kesedaran tentang Love Scam.

“Wanita harus ada ketahanan diri daripada tergoda Love Scam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Deputi

Superintenden Moliza Tauk berkata berdasarkan laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 102 kes penipuan Love Scam direkodkan pada tahun lepas, dan setakat tahun ini sebanyak 30 kes.

Katanya, kerugian dialami mangsa dari serendah RM150 dan sebanyak RM900,000.

Beliau menambah semua mangsa berusia dari 30 hingga 65 tahun, dan kebanyakannya ialah pengguna Facebook.

“Kebanyakan mangsa ada suami,” katanya sambil menam bah pernah berlaku seorang anak memohon bantuan polis untuk memujuk ibunya yang dilamun Love Scam.

Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Superintendan Sahar Abdul Latif.

Suara Sarawak