Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka peluang kepada Kuching untuk memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan sukan serantau.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Kelab Golf Sarawak (KGS) itu melabuhkan tirainya secara rasmi pada Ahad lalu, dengan menyaksikan persaingan pemain golf senior dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Penganjuran sulung itu turut memperlihatkan potensi golf senior sebagai platform yang menggabungkan persaingan sukan, pertukaran budaya dan promosi pelancongan di Sarawak.
Dalam kategori lelaki berumur 55 tahun ke atas, Arni Yahya, 65, muncul juara keseluruhan kategori bersih selepas mencatatkan 126 pukulan sepanjang 36 lubang.
Prestasi konsisten yang dipamerkan membolehkan beliau mengatasi pencabar lain dalam kejohanan yang menggunakan format permainan nett-over-gross itu.
Bagi kategori wanita berumur 50 tahun ke atas, pemain dari Korea Selatan, Lee Jong Ho, 55, pula muncul juara keseluruhan kategori bersih selepas merekodkan 135 pukulan, iaitu sembilan pukulan di bawah par.
Lee berjaya mengatasi 20 pencabar wanita lain untuk membawa pulang gelaran berkenaan, sekali gus menyerlahkan persaingan sengit dalam kategori itu.
Kejohanan anjuran Borneo SuperAct Events tersebut dicetuskan bagi menyokong perkembangan pelancongan sukan, selain menyediakan ruang kepada pemain golf senior untuk terus aktif dalam bidang sukan.
Pengasas dan pemilik Borneo SuperAct Events merangkap Pengerusi Penganjur SISAGC 2026, Datuk Eddie Abdullah berkata, kejohanan itu dirancang bagi melengkapi usaha strategik Kerajaan Sarawak dalam meneroka pasaran pelancongan khusus yang mempunyai nilai tinggi.
Menurutnya, penganjuran acara antarabangsa seperti itu berpotensi meningkatkan ketibaan pelancong serta memberikan kesan positif kepada ekonomi tempatan, khususnya sektor perhotelan dan peruncitan.
“Kami amat berbangga kerana dapat membantu meningkatkan kedatangan pelancong serta menjana impak ekonomi positif bagi perniagaan tempatan di Kuching, daripada sektor perhotelan hinggalah ke sektor peruncitan.
“Selain aspek persaingan, kejohanan itu turut mengetengahkan kepentingan aktiviti fizikal dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan golongan berusia,” katanya kepada Suara Sarawak.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak atas sokongan yang diberikan, selain Kelab Golf Sarawak selaku venue kejohanan dan Persatuan Golf Amatur Bumiputra Sarawak (PGABS) sebagai rakan strategik.
Susulan sambutan menggalakkan edisi sulung itu, penganjur mengesahkan kejohanan berkenaan akan diteruskan pada tahun depan dengan matlamat menjadikan Kuching sebagai destinasi tetap dalam kalendar golf amatur senior Asia.
Usaha itu diharap dapat memperluas penyertaan antarabangsa, merancakkan sektor pelancongan serta mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai lokasi penganjuran acara sukan serantau.





