MUKAH: Golongan belia bukan sekadar pewaris kepimpinan pada masa depan, tetapi juga sebahagian daripada tenaga penggerak masyarakat pada masa kini, kata ADUN Tellian, Royston Valentine.
Menurutnya, golongan muda perlu diberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk mengembangkan bakat, mencuba perkara baharu, membina kemahiran serta melibatkan diri dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada diri, keluarga dan komuniti.
“Usaha memberikan ruang kepada anak muda untuk terlibat, bersuara, mencuba dan memimpin perlu diperkasakan sekiranya mahu melihat komuniti yang lebih aktif dan progresif.
“Melalui pelbagai aktiviti yang disediakan, anak-anak muda dapat menonjolkan bakat dan kreativiti, membina keyakinan diri, mengembangkan kemahiran kepimpinan serta menjalinkan hubungan dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Rakan Muda Mukah 2026 di Politeknik Mukah, baru-baru ini.
Menyentuh karnival tersebut, katanya ia menjadi platform kepada golongan muda untuk menghayati pelbagai aspek 10 Gaya Hidup Rakan Muda menerusi aktiviti berteraskan sukan, kreativiti, kesihatan, kesukarelawanan, kepenggunaan, seni, e-sukan dan kemasyarakatan.
Ujarnya, program seumpama ini penting dalam membantu membentuk golongan muda yang bukan sahaja aktif, malah mempunyai nilai disiplin, tanggungjawab, integriti dan semangat bekerjasama.
Sehubungan itu, Royston menegaskan pembangunan belia bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau institusi pendidikan, sebaliknya memerlukan sokongan ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan belia dan sektor swasta.
“Saya menyambut baik usaha menghubungkan Politeknik Mukah (PMU) dengan komuniti setempat menerusi penganjuran karnival seperti ini.
“Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan dengan lebih banyak program yang memberi manfaat secara langsung kepada belia serta masyarakat di kawasan Mukah,” katanya lagi.





