Google berbalah dengan Microsoft terkait bayaran wajib kepada media

San Francisco, USA : Google kelmarin menuduh Microsoft saingan perniagaannya cuba mengalih isu apabila berpihak kepada kerajaan yang mahu memaksa platform teknologi supaya membayar royalti wajib kepada organisasi media untuk kandungan berita yang disiarkan.

Tuduhan itu muncul di perdebatan sengit terkait usaha di Australia yang mahu para penyedia perkhidmatan digital merundingkan bayaran bagi setiap kandungan berita yang disiarkan di platform masing-masing. Google dan Facebook secara dasarnya menolak tuntutan itu, manakala Microsoft pula mengambil sikap lebih bekerjasama.

Seperti dilaporkan oleh AFP, Presiden Microsoft Brad Smith, dalam surat kepada sidang jawatankuasa kongres, memasalahkan model perniagaan Google yang membolot pendapatan iklan sedangkan kumpulan penerbitan berita juga memerlukan sumber itu.

Naib presiden kanan urusan global, Google, Kent Walker menyerang kembali melalui hantaran di blognya, mengatakan bahawa: ” Microsoft sekarang sedang berusaha menuntut kepentingan diri dan sanggup serta bersedia untuk merosakkan cara kerja sistem ‘web terbuka’ beroperasi dalam usaha untuk melenyapkan saingan.”

Walker menambah, “Perbahasan penting ini harus menyentuh inti dari isu sebenar, dan bukannya terpesong oleh oportunis korporat.”

Dalam suratnya, Smith memuji peranan yang dimainkan oleh organisasi berita dalam mempertahankan demokrasi dan berpendapat bahawa “internet telah mematikan perniagaan berita tempatan yang sudah sedia tenat dengan membolot pendapatan iklan dan pelanggan berbayar.”

Microsoft turut melobi negara-negara lain untuk mengikuti langkah Australia dalam mendesak agar penyedia konten berita dibayar untuk berita yang diterbitkan dalam talian, tindakan yang jelas ditentang oleh Facebook dan Google.

Kata Smith, “Berita, pada hari ini adalah sebahagian daripada ekosistem teknologi, dan kita semua yang turut serta dalam ekosistem ini mempunyai peluang dan tanggungjawab untuk membantu jurnalisme berkembang.

Pendukung Google dan Facebook pula mendakwa bahawa pembayaran wajib untuk pautan berita pada asasnya akan mengubah cara internet berfungsi dan akhirnya merugikan perkhidmatan percuma dalam talian. -AFP

Suara Sarawak