MELAKSANAKAN aktiviti gotongroyong menjadi rutin di kawasan perumahan dan untuk memastikan kawasan persekitaran tempat tinggal bersih dan selesa.
Ia seolah-olah diwajibkan, bukan sahaja di sesebuah kampung atau di taman, malah aktiviti serupa ini dilakukan oleh rata-rata penduduk di sesuatu tempat di setiap pelosok Sarawak dari selatan Sematan hingga ke utara negeri ini.
Begitu juga yang dilakukan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pine Villa dan penduduk setempat.
Sebuah kawasan kira-kira 10 kilometer jaraknya dari bandar raya Kuching, melaksanakan aktiviti gotong-royong membersih kawasan di Pine Villa dan sekitarnya bermula 8.30 sehingga 10.30 pagi pada Ahad, baru-baru ini.
Ia bermula dari tapak pelupusan sampah di Dusun Bayu dan sepanjang jalan raya Dusun Bayu termasuk parit besar di kawasan tersebut.
Matlamat gotong-royong pembersihan kawasan adalah bersempena Hari Denggi Asean bagi membendung peningkatan kes demam denggi di negeri ini.
Pembersihan di kawasan taman perumahan, termasuk parit besar dan perkara ini amat wajar dilakukan oleh penghuni taman perumahan sebagai kesedaran umum.
Ia secara tidak langsung menanam semangat cinta akan kebersihan dan kesihatan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum yang tinggal di Pine Villa.
“Aktiviti pelaksanaan gotong-royong pada hari tersebut ialah taklimat ringkas gotong-royong disertai bergambar dalam kumpulan.
“Saya ketuai gotong-royong tersebut sebagai Ketua Kampung dan dibantu oleh Ishak Sabtu selaku Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pine Villa.
“Peralatan bergotongroyong disediakan lebih awal memudahkan peserta gotongroyong,” katanya.
Ujarnya, peralatan seperti beberapa batang penyapu plastik, cangkul, pongkes dan plastik untuk menyimpan sampah penting memastikan aktiviti gotong-royong berjalan lancar.
TAPAK BUANG SAMPAH
Pembersihan dilakukan dengan menyapu sampah serta disimpan di dalam plastik sampah dan membersih sampah yang ada di dalam parit utama di taman tersebut.
Gotong-royong ini merupakan aktiviti wajib untuk penduduk melibatkan warga setempat.
Penduduk setempat perlu dididik mengutamakan semangat bergotong-royong membersih kawasan tempat tinggal masing-masing.
Penduduk juga dididik membuang sampah di tapak yang disediakan mengelak risiko parit tersumbat atau menjadi tempat pembiakan nyamuk jika dibuang di tali air.