MEMBERSIH kubur bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, bahkan mampu menerbitkan rasa keinsafan dalam kalangan umat Islam yang masih hidup.
Apatah lagi kubur ialah tempat manusia akan kembali selepas dijemput Ilahi.
Di samping itu, aktiviti ini juga dapat mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat, pada masa sama diharap dapat menerbitkan rasa keterujaan dan keinsafan sepanjang waktu membersihkan kubur.
Malah, dengan adanya aktiviti seperti ini dapat menarik golongan muda untuk turut serta dalam gotong-royong ini.
Baru-baru ini Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tanah Perkuburan Kampung Matang dengan kerjasama ahli jawatankuasa Masjid Darul Salam Kampung Matang dan disertai ahli jawatankuasa surau di beberapa surau di sekitarnya seperti Surau Ikhwanul Muslimin, Surau Nurul Annuar dan Surau Nurul ad-Din bekerjasama dengan penduduk kampung melaksanakan Program Gotong-Royong Perdana membersihkan Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Matang.