
KUCHING: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cherrywood sekali lagi mengadakan program gotong royong yang melibatkan empat buah perumahan di bawah seliaan KRT Cherrywood iaitu Taman Cherrywood, Nineseven97 Residence, Million Gifted 1 dan Million Gifted 2 yang mempunyai penduduk pelbagai kaum pada Ahad lalu.
Tiga buah unit tong roro telah disewa untuk menjayakan program ini. Jadual program pada awalnya adalah aktiviti senamrobik dan demonstrasi memadam api oleh pihak Balai Bomba Petra Jaya, namun dua aktiviti tersebut terpaksa dibatalkan di saat- saat akhir kerana cuaca hujan.
Ketika dihubungi, Haron Mustapha memberitahu, antara lain objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada penduduk agar sentiasa memastikan seluruh kawasan rumah mereka berada dalam keadaan bersih.
Selain itu, jelasnya, aktiviti sebegini dapat memupuk kerjasama antara penduduk dan Ahli Jawatankuasa KRT dalam menganjurkan aktiviti kebersihan dan pencegahan penyakit bawaan nyamuk dan penyakit berjangkit lain. Meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan persekitaran.
“Program ini lebih kepada membersihkan kawasan rumah masing-masing dan pihak KRT hanya menyediakan tong roro sahaja. Ahli Jawatankuasa mengambil inisiatif turut sama turun padang membersihkan kawasan awam seperti longkang ‘backland’ dan sekitar jalan utama dalam perumahan.
“Hampir 20 orang penduduk termasuklah Ahli Jawatankuasa bersama membantu membersihkan kawasan awam penduduk. Walaupun hujan renyai-renyai turun, semangat penduduk tetap harus dipuji kerana demi kebersihan dan kesihatan mereka dapat menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita.
Menurut Haron, Zamuri Johor telah mengetuai Ahli Jawatankuasa KRT Cherrywood membersihkan persetujuan kawasan perumahan.

Menurut beliau, program sebegini seharusnya boleh memberi kesedaran kepada penduduk agar jangan membiarkan longgokan barangan yang sudah tidak digunakan di backland rumah teres kerana ini boleh mengundang pembiakan nyamuk edes sekaligus boleh mendatangkan penyakit demam denggi.
“Kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab kita bersama bukan diserahkan kepada pihak berkuasa tempaan semata-mata.
“Kita tidak mahu ada kes demam denggi di kawasan kita oleh sebab itulah kita mengambil inisiatif mengadakan program gotong royong ini,” tegasnya dalam memastikan kebersihan yang menjadi tanggungjawab bersama.
Di samping itu, Haron memberitahu, program sebegini adalah program rutin KRT Cherrywood dan menjadi aktiviti tetap setiap tahun dan akan ditambahbaik dari semasa ke semasa agar penduduk mahu turut serta.
“Kita akan cuba mencari pendekatan yang bersesuaian agar penduduk sentiasa menyertai aktiviti sebegini termasuklah mengadakan saringan kesihatan, demonstrasi memadam api dan aktiviti kecergasan, ujar Pengerusi KRT Cherrywood, Zamuri Johor.
Zamuri juga berharap dan berdoa agar semua penduduk di bawah KRT Cherrywood sentiasa sihat serta terhindar daripada sebarang penyakit.
