KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung individu yang kononnya dicadangkan sebagai calon gabungan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Jurucakap GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini GPS belum memutuskan sebarang calon yang berpotensi untuk bertanding.
“Baru-baru ini, terdapat beberapa hantaran di media sosial yang memaparkan individu-individu yang didakwa dicadangkan sebagai calon GPS bagi menghadapi PRN Sarawak.
“Bagaimanapun, kami belum memutuskan sebarang calon yang berpotensi untuk bertanding,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Abdul Karim yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menambah, GPS berpandangan penjelasan ini perlu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan kepimpinan parti dan para penyokong.
Menurutnya, ia penting kerana individu dikaitkan sebagai calon tersebut bukanlah calon yang disahkan oleh GPS.
“Namun, GPS menghargai hantaran-hantaran berkenaan yang disifatkan sebagai tanda sokongan ke atas gabungan ini,” ujarnya.




