GPS buka laluan pembangunan luar bandar

KANOWIT: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus membela nasib penduduk luar bandar di negeri ini.

Perkara ini dijamin oleh Adun Machan Allan Siden Gramong pada Program Santai Bersama Rakyat di Rumah Untol Lenggang di Nanga Menalun Sungai Poi di sini baru-baru ini.

Katanya, rakyat tidak perlu berasa curiga dengan kewujudan GPS setelah keluar dari Barisan Nasional (BN) tahun lepas.

“GPS mementingkan anak jati untuk berkhidmat di negeri ini selain menfokuskan pembangunan kepada penduduk luar bandar.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga mahu negeri ini ditadbir oleh rakyatnya sendiri… begitu juga partinya sendiri yang menentukan hala tuju pentadbiran negeri ini,” jelasnya lagi.

Hadir sama pada program tersebut ialah bekas ADUN Machan Datuk Gramong Juna, Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Machan Datuk Catherine Gramong serta ketua masyarakat setempat.

Beliau memberitahu akan terus menfokuskan pembangunan di kawasannya agar hidup rakyat di kawasan luar bandar dapat dibangunkan.

“Dengan GPS ini, tidak ada yang perlu dirisaukan, malah ia harus diyakini kerana membabitkan parti di negeri ini. Ia lebih baik daripada campur tangan parti luar. Biarlah masa depan, perancangan pembangunan dan sebagainya di negeri ini ditentukan oleh rak-yatnya sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau mahu penduduk luar bandar sentiasa bersabar menunggu pembangunan yang akan dilaksanakan.

Jelasnya, kerajaan mempunyai rancangannya sendiri untuk membangunkan kawasan penduduk dan ia tidak datang begitu cepat kerana melibatkan peruntukan yang banyak.

“Kerajaan GPS memang ada perancangan untuk kita di Dun Machan ini. Setiap kawasan ada. Justeru, saya akan turun padang dan mendengar permasalahan anda untuk dipertimbangkan bagi manfaat anda.

“Jangan terpedaya dengan anasir-anasir luar yang mahu menghasut rakyat membencikan GPS,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Catherine menghulurkan wang tunai RM1,000 untuk Biro Wanita Rumah Untol.

Suara Sarawak