KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima permohonan daripada parti luar untuk menjalinkan kerjasama dengan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari menyifatkan, GPS seolah-olah seorang wanita cantik yang sedang dipujuk lelaki kerana mampu menarik perhatian parti politik lain.
“Kami belum memutuskannya. Dah nama orang kacak semua orang ngagak. Ada tapi kita nanggalah.
Nya kedak begerek, belum ada kata putus. Tapi, gerek jak sikda tunang sebab tunang boleh jadi putus juak kelak,”katanya memetik analogi GPS seperti perempuan cantik yang diburu semua lelaki.
Presiden PBB itu berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari mendedahkan Sarawak terus menuntut tiga baki perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak itu berkata, antara tuntutan tersebut adalah agihan mengenai formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, tindakan itu akan terus dibuat meskipun Sabah mungkin sudah menerima agihan peruntukan tersebut tetapi Sarawak berteraskan kepada formula agihan seperti yang dituntut.
“Yang kedua pentadbiran dari sudut Mahkamah Undang-Undang Sarawak kerana dahulu kita mempunyai Mahkamah Tinggi Borneo, maka kita hendaklah merujuk perkara tersebut ke dalam perundangan kita,” katanya.
Mengulas mengenai pentadbiran dari sudut Mahkamah Undang-Undang Sarawak, Abang Johari berkata mengikut susunan masa kini, peguam di Semenanjung tidak boleh praktis di Sabah atau Sarawak.
Sementara itu katanya, tuntutan ketiga adalah pengiktirafan jabatan teknikal yang harus diiktiraf sebagai jabatan yang akan melaksanakan projek-projek daripada Kerajaan Persekutuan di Sarawak.