GPS fokus bangun dan majukan Sarawak

KUCHING: Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam mahu parti itu terus fokus dalam menyediakan Sarawak sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia menjelang 2030.

Berucap pada Majlis Ramah-Tamah Gawai Raya Peringkat Sibu di Taman Selera Harmoni di sini malam kelmarin, beliau menekankan menjadi tanggungjawab kolektif dalam kalangan parti komponen GPS, yang terdiri daripada PBB, SUPP, PDP dan PRS untuk menjayakan agenda ini.

“Kami di GPS tidak bergaduh tetapi mempunyai hala tuju yang tepat, dengan memberi tumpuan kepada politik pembangunan,” katanya kepada lebih 4,000 hadirin di majlis tersebut.

Tegasnya, GPS tidak seperti parti politik di Semenanjung, malah akan terus melindungi kedaulatan negeri ini dan mengekalkan keharmonian rakyatnya.

Fokus GPS, kata Abang Johari adalah untuk membangunkan ekonomi rakyat.

“Banyak pendekatan yang kita pakai dan ia bertujuan mewujudkan keselesaan kepada rakyat, seterusnya melonjakkan ekonomi mereka.

Katanya, untuk tujuan ini, selain membina lebih banyak perumahan rakyat mampu milik, kerajaan juga akan memperkasa kawasan luar bandar agar setaraf seperti di bandar.

“Kita berusaha untuk merapatkan jurang pembangunan, dan ini melibatkan kemudahan elektrik, air terawat dan infrastrukturnya,” katanya lagi.

GPS katanya, mempunyai perancangan teliti untuk memastikan rakyat di negeri ini hidup selesa serta tidak dibebani.

“Kita akan membuat yang terbaik untuk Sarawak selagi kita diyakini rakyat,” tambahnya.

Suara Sarawak