GPS letak calon di kesemua 82 kerusi DUN Sarawak

KUCHING: Bersatu tidak mempunyai peluang sebagai calon GPS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau menegaskan perkara tersebut dengan mendedahkan bahawa kesemua calon 82 kerusi sudah pun dikenal pasti.

“Untuk makluman, GPS sudah mengenal pasti calon-calon untuk kesemua 82 kerusi. Sudah mengenal pasti maksudnya kesemua 82 kerusi merupakan calon GPS.

“Jadi di mana letaknya Bersatu itu sukar untuk kita katakan. Ia mungkin pada siapa-siapa yang jiwanya bersama Bersatu tapi luarannya menggunakan GPS,” katanya ketika mengadakan sidang media di Bangunan Baitul makmur II hari ini.

Beliau mengulas sedemikian selepas ditanya mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Zuraida Kamaruddin yang mendedahkan Bersatu akan bertanding di Sarawak dengan menggunakan logo GPS pada Ahad.

Tambah Karim, tindakan bertanding menggunakan logo GPS boleh menyebabkan kekeliruan di mana sekiranya satu daripada GPS dan satu daripada Bersatu.

“Mereka perlu melihat keadaan ini. Kalau kita meletakkan calon yang sedemikian (keliru) susah.

“Bagi siapa-siapa yang mewakili GPS dia perlu hadir pada empat komponen parti GPS.

“Walaubagaimanapun kita akan menangani masalah ini dengan baik,” katanya lanjut.

Namun tegas Karim, GPS di peringkat pusat amat menyokong Perikatan Nasional(PN) dan berharap PN turut bertindak bijak dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Baru-baru ini, kita faham bahawa PN dan Bersatu turut menunjukkan sokongan kepada GPS.

“Jadi kalau menyokong itu biarlah dari jiwa dan juga dari segi bahasa,” ujar beliau.

Suara Sarawak