GPS tidak bantu program Kerajaan Persekutuan – Chieng Jen

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kesal dengan sikap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak memberi kerjasama terhadap program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen mendakwa terdapat unsur sabotaj terhadap inisiatif Kerajaan Persekutuan seperti ketika pelancaran kempen “Beli Barangan Malaysia” di Kuching baru-baru ini.

“Kami cuba menyewa tandas bergerak daripada Majlis Perbandaran Padawan kerana acara itu berlangsung dalam kawasan majlis perbandaran itu tetapi jawapannnya tidak ada yang boleh disewa,” katanya pada konvensyen  tahunan ke-19  DAP Sarawak di sini.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Chong berkata pihak kementerian kemudian cuba mendapatkan bantuan Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Dewan Bandaraya Kuching Utara namun jawapannya tetap sama.

“Itu acara anjuran kerajaan persekutuan dan bukannya DAP namun ketiga-kita pihak berkuasa tempatan menolak pemintaan kami untuk menyewa tandas bergerak,” katanya dan menambah tindakan itu membuktikan bahawa kerajaan negeri seolah-olah mahu mensabotaj program tersebut.

Selain itu, Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak mendakwa terdapat usaha pemimpin GPS mensabotaj cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) oleh Kerajaan Persekutuan bagi memudah penyaluran dana kerajaan pusat kepada rakyat Sarawak.

“Bukan sahaja cuba menyekat inisiatif itu, malahan pemimpin mereka kini menyebarkan berita palsu bagi memburuk-burukkan program MPKK,” katanya.

Justeru, menjelang Pilihan Raya Negeri beliau berharap anggota DAP Sarawak tetap bersatu dan fokus dalam melaksanakan agenda parti dan terus membantu Kerajaan Persekutuan  melaksanakan projek serta program yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak. – Bernama

Suara Sarawak