ARTIKEL

Gambar hiasan

Granola nasi lemak lebih sihat, sedap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Suatu pagi bulan April tahun lepas, Theresa Lam terjaga daripada tidur dan begitu teringin makan nasi lemak, sarapan pagi yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Cuma masalahnya, perunding perhubungan awam berusia 52 tahun itu sedang diet – secara khususnya diet rendah karbohidrat iaitu mengambil makanan yang kurang karbohidrat daripada yang disyorkan. Kaedah ini popular untuk mengurus berat badan dan mengawal gula dalam darah.

“Saya mengidam betul nasi lemak tetapi saya tidak mahu nasi,” dia berkongsi kisahnya dengan Bernama di pangsapurinya di Sri Damansara di sini.

Lam yang berasal dari Hong Kong kini adalah penduduk tetap Malaysia dan dia sememangnya gemar makan nasi lemak untuk makan pagi seperti rakyat Malaysia yang lain. Namun jumlah lemak dan karbohidrat dalam makanan itu tinggi – nasi dalam nasi lemak diipenuhi lemak tepu kerana penggunaan santan, disertai sambal pedas manis, hirisan timun, ikan bilis goreng dan kacang tanah serta telur rebus.

Semuanya ini dibungkus dalam daun pisang, menambah keenakan.
Hidangan popular ini tetap menjadi pilihan ramai di sebalik hakikat ianya bukan pilihan sarapan pagi yang sihat. Tidak hairanlah Malaysia disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang mempunyai kadar obesiti dan diabetes tertinggi di Asia Tenggara.

Lam cekal dengan dietnya, dengan granola yang kaya dengan serat, mengandungi rolled oat, kekacang dan madu atau pemanis dengan yoghurt Greek sebagai sarapan pagi. Namun keinginannya untuk makan nasi lemak masih membuak-buak.

Akhirnya, dia meminta rakannya Vivien Chin, 60, yang juga seorang kaki memasak, sekiranya dia boleh menghasilkan granola yang mempunyai rasa seperti nasi lemak.

“Saya kata ‘Gilalah kau. Tak boleh la, ’,” Chin berkongsi, sambil ketawa. Tetapi Chin tidaklah mengenepikan permintaan itu, sebaliknya dia berfikir dan mencuba untuk menyesuaikan resipi sambal nasi lemak keluarganya dalam pembuatan granola.

Baca lain  Bapa didakwa bunuh bayi lelaki berusia enam bulan

“Kerana sedap atau tidak nasi lemak banyak bergantung kepada sambal kan?” tambah Lam.

Hasilnya jadilah granola nasi lemak dan setiap orang yang Bernama tanya bersetuju granola yang dibuat Lam mempunyai rasa nasi lemak. Granola ini mengandungi ikan bilis goreng, mempunyai bau santan kelapa dan daun pandan. Granola ini mendapat sambutan hangat daripada rakan dan keluarganya.

Pada Julai tahun lepas, Lam dan Chin melancarkan syarikat bernama Gila Goodness untuk membuat serta menjual granola.

Mereka kemudian berjaya menarik suami Lam dan tiga orang lain sebagai rakan kongsi.
Mereka turut memperkenalkan perisa lain seperti tom yam dan ondeh-ondeh.

Dalam kalangan rakan serta keluarga kecil mereka, Lam dan Chin berjaya menunjukkan bahawa ‘anda mungkin dapat nasi lemak dan dapat juga menikmatinya’. Menjelang tahun baharu 2024, mereka memperluaskan jualan produk ini dengan ribuan pembeli melalui kaedah mulut ke mulut, jualan langsung di bazar cuti dan platform dalam talian.

Rancangan selanjutnya untuk memperluaskan lagi pelanggan dengan mensasarkan mereka yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat serta rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara, dengan memperkenalkan perisa baru iaitu tat nanas (sejenis pastri tempatan), untuk sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya.

MAKANAN TIDAK SIHAT

Gaya hidup yang tidak banyak bergerak serta pilihan makanan yang banyak menyebabkan Malaysia muncul sebagai negara mempunyai paling banyak kes obesiti dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS) menunjukkan sebanyak 50.1 peratus orang dewasa mempunyai lebihan berat badan atau obes (30.4 peratus lebihan berat badan dan 19.7 peratus obes).


Malaysia juga mempunyai kadar diabetes tertinggi di rantau Pasifik Barat di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan salah satu tertinggi di dunia. Menurut tinjauan 2019 NHMS, seramai 3.6 juta orang dewasa mengidap diabetes, dan 3.7 juta kes tidak didiagnos.

Baca lain  Sengaja buat kemalangan untuk tuntut ganti rugi

Pada tahun 2023, penyakit jantung adalah penyebab utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia, diikuti dengan pneumonia, menurut Jabatan Statistik Malaysia. Diabetes, kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi menyumbang kepada penyakit jantung.

Pakar pemakanan Hospital Pakar KPJ Damansara Yip Song Qing berkata, banyak pilihan sihat dalam kalangan makanan di Malaysia, namun banyak juga yang akan menjadi tidak sihat jika dimakan dengan kuantiti yang banyak.

Antara contoh makanan tidak sihat termasuk roti canai, teh tarik dan char kway teow.

“Juadah popular seperti nasi lemak, mi goreng, char kway teow – semua ini mengandungi lemak dan kalori tinggi,” katanya menambah, makanan berkenaan adalah kegemaran ramai pesakitnya. Pilihan sihat termasuk sup dan makanan yang dikukus, rebus atau panggang.

Dia berkata, granola mungkin pilihan yang lebih baik untuk sarapan pagi, bergantung kepada ramuannya.

“Apa yang saya boleh katakan ialah granola nasi lemak ini mungkin mempunyai kandungan serat yang tinggi yang membantu untuk menurunkan kolesterol,” katanya.

Dalam bentuk asalnya, serat dalam nasi lemak mungkin datang daripada hanya timun dan kacang tanah, yang tidak mengandungi banyak serat seperti granola.

Bagaimanapun Yap berhati-hati untuk menyatakan granola adalah sihat, sambil menekankan bahawa ianya bergantung kepada berapa banyak granola yang seseorang itu makan.

“Mengawal jumlah yang kita makan adalah penting,” katanya menambah, makanan sihat seperti buah-buahan juga mungkin berbahaya untuk penghidap diabetes sekiranya dimakan berlebihan.

Bagi pengkaji semula teknologi Adam Lobo yang suka makan snek, mengawal jumlah inilah yang sukar untuk dibuat, namun masalah ini diatasi dengan pengambilan granola dan ianya membantu dalam mengurus dietnya. Dia mendapat tahu tentang granola ini daripada bekas rakan sejawatnya yang mengenali Lam, ketika bertandang ke rumah rakannya itu.

Dia memberitahu Bernama, perisa kegemarannya adalah ondeh-ondeh yang dimasukkan ke dalam campuran protein cokelat untuk sarapan pagi.

“Saya ini peminat tegar Liverpool, jadi saya banyak makan snek (semasa menonton perlawanan mereka). Biasanya saya akan makan cokelat dan lain-lain. Tetapi sekarang snek saya adalah granola nasi lemak dan granola tom yam sekiranya saya menonton perlawanan bola Liverpool,” tambahnya.

Baca lain  Akibat pelaburan Bitcoin tidak wujud RM146,313.60 lesap tiga hari

YAKINKAN ORANG RAMAI

Dalam kalangan yang mengamalkan gaya hidup sihat iaitu generasi muda dan warga kota, granola bukanlah suatu makanan eksotik yang mereka tidak kenal. Namun di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, ada juga kelompok yang keliru dengan apa yang dipanggil granola nasi lemak dan produk lain.
Menurut Chin dan Lam, itulah cabaran pertama mereka apabila mahu memperkenalkan produk berkenaan kepada orang ramai.

“Masih ramai yang tak tahu apa itu granola,” kata Chin, ketika berkongsi pengalamannya menjual produk granola mereka di satu bazar yang diadakan semasa cuti, di Cheras.


Bukan itu sahaja masalahnya. Lam berkata, dalam kalangan yang tahu apa itu granola, ramai yang tidak tahu cara memakannya, kerana mereka sudah biasa makan granola manis dengan susu atau yoghurt. Memandangkan granola nasi lemak dan granola tom yam adalah lebih kepada jenis ‘savoury, tidak sesuai untuk makannya dengan susu atau yoghurt.


“Dalam budaya Asia, diet kita lebih kepada – makan sesuatu yang ‘savoury’ untuk sarapan. Di Barat, sarapan adalah granola manis,” katanya.


Dia mencadangkan pelbagai cara untuk makan granola dan menggalakkan pelanggannya melakukan eksperimen, sama ada makan granola begitu sahaja atau menggunakannya dengan makanan lain.


“(Ada orang) guna granola nasi lemak atau tom yam untuk menambah rasa pedas telor goreng atau telor hancur,” katanya.

Yip berpendapat mencampurkan granola dengan telor adalah satu pilihan baik.

“Nampak bagus. Ada serat. Ada minyak sihat. Ada protin. Bagus sekali,” katanya, menambah, inilah caranya untuk menjadikan granola sebagai sebahagian daripada diet sihat dan seimbang.

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Hina Premier Sarawak, tiga Setiausaha lapor polis

KUCHING: Tiga Setiausaha kepada Premier Sarawak bertindak membuat laporan polis berhubung kes dipercayai menfitnah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh