GST akan membebankan rakyat

KUCHING: Perubahan dasar secara tiba-tiba, malah kembali semula kepada apa yang ditentang oleh PH dahulu akan terus menyebabkan rakyat sengsara.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Sarawak Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad berkata, dengan keadaan ekonomi negara tidak stabil dan jurang ekonomi sosial rakyat yang membesar, GST akan terus membebankan rakyat.

“Sudah pasti kesan paling ketara adalah kenaikan harga barang. Kesan ini akan lebih dirasai oleh rakyat Sarawak yang jauh daripada perhatian Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru katanya, Pas mahu rakyat Sarawak bersatu padu dengan kerajaan sedia ada untuk mempertahankan hak negeri.

Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad

“Kita perlu lebih banyak simpanan masa depan dan dana pembangunan negeri.

“Sandiwara PH terhadap royalti, peruntukan pendidikan dan sebagainya, akan mengheret rakyat terus terpinggir walaupun Sarawak memberi kekayaannya yang begitu banyak kepada Persekutuan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, usaha Kerajaan Sarawak kini yang mahu hasil cukai jualan produk petroleum diberi kepada rakyat adalah hak Sarawak yang wajib dipulangkan.

Wan Abdillah menambah, Pas Sarawak akan terus menyokong sebagai rakan pembangkang di Parlimen.

“PH Sarawak sudah tidak bernyawa, malah hanya alat sandiwara yang memberi perlindungan kepada rakan Malaya mereka,” katanya.

“Bukti jelas daripada video penjelasan PH Sarawak berkenaan royalti 20 peratus untuk Sarawak baru-baru ini,” tegasnya.