Guan Eng buat kenyataan tanpa buat ‘homework’

BINTULU: Ketua Penerangan Pemuda PBB N.67 Jepak Mohd Zaifulfadillah Junaidi menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng   bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun lagi adalah biadap,fitnah dan tidak berasas.

Menurutnya, dakwaan Menteri Kewangan tersebut secara langsung menunjukkan kedangkalannya tentang urus tadbir ekonomi.

Kenyataan Lim Guan Eng, itu,katanya, bukan sahaja menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat negeri ini, tetapi turut mengundang kebimbangan golongan pelabur.

Tegas Zaifulfadillah, sebagai menteri dan   pemimpin negara, perkara seperti itu tidak wajar dibangkitkan Guan Eng tanpa membuat sebarang ‘homework’.

Tambahnya lagi, kata-kata daripada Menteri Kewangan itu  akan memberi kesan kepada ekonomi dan seharusnya beliau berhati-hati dalam membuat kenyataan.

“Tidakkah beliau bimbang, dengan kata-kata mendakwa kerajaan negeri akan muflis hanya akan mengurangkan keyakinan pelabur,” katanya.

Guan Eng ketika menghadiri majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di Kuching pada Jumaat lalu berkata, Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut beliau, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan habis dalam masa tiga tahun.

Katanya, Sarawak mungkin mengalami nasib seperti Kelantan apabila kerajaan negeri itu tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran yang lemah.

Suara Sarawak