Gudang bahan beku curi elektrik

MIRI: Salah satu meter elektrik di salah sebuah gudang penyimpanan bahan sejuk di Kuala Baram didapati dirosakkan menyebabkan gangguan pada bacaan meter elektrik. 

Pasukan pemeriksaan meter Sarawak Energy berjaya mengesan kes kecurian elektrik di gudang tersebut dalam satu serbuan baru-baru ini.

Operasi itu dijalankan Unit Pemeriksaan Elektrik (EIU) Kementerian Utiliti dan PDRM setelah diberi waran geledah untuk mengakses gudang tersebut.

Gudang itu didapati mencurigakan kerana mencuri elektrik berikutan pengawasan secara bulanan dilakukan.

Setelah mendapat akses gudang berkenaan, bacaan meter elektrik mendapat gangguan, malah meter yang tertulis lebih rendah berbanding dengan penggunaan sebenar.

Terdapat juga beberapa unit kontena penyejuk beroperasi 24 jam.

LOKASI… Beberapa kontena kargo di tempat kejadian.

Rekod analisis bacaan meter menunjukkan penggunaan elektrik untuk gudang tersebut tidak realistik kerana terlalu rendah berbanding penggunaan sebenar kira-kira RM1,000.

Pembacaan beban elektrik sebenar diambil semasa operasi tersebut dianggarkan bernilai sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan atau mungkin lebih tinggi pada musim perayaan dengan lebih banyak penyimpanan peti sejuk.

Meter elektrik berkenaan disita, dijadikan bukti dan diganti dengan meter yang baharu.

Sarawak Energy akan terus memantau penggunaan tenaga elektrik di premis tersebut untuk membendung percubaan mengganggu bacaan meter elektrik pada masa hadapan.

Laporan polis dibuat dan pemilik gudang tersebut akan dipanggil untuk membantu siasatan kecurian elektrik.

Sarawak Energy akan mengambil tindakan undang-undang melalui EIU dan Peguam Negeri terhadap pemilik premis di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik Sarawak yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM 100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya dan dikenakan tunggakan elektrik terkumpul dicuri.

BUKTI… Tanda salah satu meter yang dirosakkan di gudang tersebut.

Pencuri elektrik sangat berbahaya kerana boleh membahayakan nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda pelanggan termasuk peralatan elektrik.

Secara tidak langsung, hal tersebut mampu menyebabkan kebakaran, kecederaan serius dan lebih parah, boleh menyebabkan kematian.

Justeru, Sarawak Energy akan terus mengawasi tahap penggunakan elektrik bulanan dengan teliti dan tindakan akan diambil apabila bacaan tidak wajar dikesan. Operasi dan pemeriksaan meter akan dijalankan di seluruh Sarawak bersama agensi penguat kuasa.

Pelanggan dinasihatkan tidak mempercayai penyedia perkhidmatan mendakwa dapat mengurangkan bil elektrik dan membenarkan pemilik premis menikmati penggunaan elektrik tanpa had.

Secara tidak langsung, pemilik bertanggungjawab terhadap jenayah itu kerana meter didaftarkan atas nama mereka.

Orang ramai digalakkan memberi kerjasama dengan melaporkan mengenai sebarang maklumat kecurian elektrik melalui hotline Sarawak Energy di 082-443535. Semua maklumat diterima dirahsiakan.

PERIKSA… Pasukan pemeriksaan meter memeriksa salah satu meter yang membekalkan elektrik ke gudan tersebut.