Gula-gula ‘vape’ dirampas

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak merampas sebanyak 14 kotak atau 24 paket gula-gula berasap jenama ‘Chost Somke’ dari sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini pagi tadi.

Rampasan dianggarkan bernilai RM110 itu dibuat susulan kebimbangan terhadap kewujudan gula-gula berasap itu, yang dikhuatiri boleh mendorong kanak-kanak terdedah kepada tabiat merokok dan juga boleh menjejaskan kesihatan.

Menurut Timbalan Pengarah selaku Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechik, sehingga kini sebanyak 60 buah premis telah diperiksa di seluruh Sarawak bagi mengesan penjualan gula-gula berkenaan.

“Peniaga-peniaga dinasihati supaya tidak menjual gula-gula berasap ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hanizam, hasil rampasan itu akan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 atau di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal ) 2011 di bawah Akta yang sama atau di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 di bawah Perintah Kawalan Harga (Pelabelan Oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980.

Gula-gula berasap jenama ‘Chost Somke’ yang dirampas dari sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini semalam.

 

Anggota penguatkuasa KPDNHEP Sarawak melakukan pemeriksaan di premis-premis di seluruh Sarawak bagi mengesan penjualan gula-gula berasap jenama ‘Chost Somke’.