Guna teknologi Revolusi Industri Keempat

KUCHING: Penyedia perkhidmatan logistik tempatan perlu beralih ke arah teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) seperti Internet Kebendaan (IoT), Data Raya dan pendigitalan bagi menjadikan mereka lebih relevan.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, pelbagai agensi kerajaan termasuk Matrade menyediakan inisiatif pemudahan termasuk geran padanan bagi menjadikan penyedia perkhidmatan logistik tempatan lebih kompetitif untuk bersaing dengan penyedia perkhidmatan logistik lain di peringkat antarabangsa.

“Prestasi perdagangan luar juga memberikan kita keyakinan bahawa negara berada di landasan yang kukuh dalam usaha mencerdaskan ekonomi yang mampan dalam jangka panjang.

“Lebihan dagangan yang dicatatkan pada 2020 adalah yang terbesar setakat ini, di samping merupakan lebihan dagangan yang dialami negara bagi 23 tahun berturut-turut sejak 1998.

“Lebihan dagangan meningkat 26.9 peratus kepada RM184.79 bilion berbanding 2019,” katanya dalam prakata Buletin Matrade. Dalam pada itu beliau berkata, pandemik Covid-19 telah mendorong industri logistik untuk menilai semula dan menyusun strategi operasi mereka ke arah pendigitalan.

Menurut Mohammad, langkah itu amat penting bagi meningkatkan produktiviti dan aliran perniagaan yang menjadi asas kemampanan perniagaan.

“Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dikuatkuasakan, industri logistik terutamanya perkhidmatan e-dagang dan e-penunaian dinyatakan sebagai perkhidmatan penting dan dibenarkan beroperasi.

“Barangan terutamanya penghantaran makanan dan barangan runcit, mendapat permintaan tinggi,” katanya. Justeru, beliau menggesa seluruh warga Matrade memainkan peranan yang penting bagi memulih dan memperkukuhkan lagi prestasi perdagangan dan pelaburan serta ekonomi Malaysia.

Katanya, ia bagi mencapai iltizam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang matlamat utamanya adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia menjelang 2030.

Suara Sarawak