SARIKEI: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan melakukan pengeluaran RM10,000 harus memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin melalui perbelanjaan berhemah.
Itu nasihat Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab kepada pencarum susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Yusuf berkata, pencarum juga boleh memilih untuk tidak mengeluarkannya sebagai simpanan masa depan.
“Rancangkan betul-betul dan seandainya tidak perlu dikeluarkan, kita simpan sahaja biar ia bertambah dengan kadar faedah yang diumumkan KWSP dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Taman Susur Jambu, semalam.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan atas keputusan tersebut kerana ia melegakan banyak pihak khususnya mereka yang benar-benar memerlukan.
“Saya yakin semua orang ada perancangan masing-masing, namun manfaatkanlah wang itu dengan bijaksana demi kelangsungan hidup,” ujarnya.
