Guru berdedikasi sedia buka minda untuk terima perubahan

BINTULU: Guru yang berdedikasi sentiasa bersedia mengubah minda untuk menerima perubahan semasa dalam sistem pendidikan di negara ini,

Berucap pada sambutan Hari Guru 2019 Peringkat Sekolah Kebangsaan(SK) Bukit Mawang di sini, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata, langkah tersebut penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan bagi memperbaiki persepsi orang ramai mengenai profesion mulia mereka.

Beliau turut menjelaskan golongan guru juga perlu kreatif dan inovasi di dalam kaedah pengajaran mereka bagi menarik minat pelajar untuk menjadi lebih fokus dalam kelas di samping menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Tambah beliau lagi, guru adalah model terbaik untuk pelajar-pelajar mereka disamping memainkan peranan yang penting dalam menghasil serta melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu untuk bersaing dalam dunia globalisasi.

Pada masa yang sama, Tiong turut mengingati mereka (guru) agar tidak mengeluh apabila ditempatkan di kawasan pedalaman untuk mengajar serta mendidik anak- anak, sebaliknya, beliau menyarankan pihak berkenaan berfikir sejenak akan kebaikan yang mereka perolehi apabila bertugas di kawasan berkenaan.

“Bukan sahaja dapat menjimatkan dari segi kos perbelanjaan, anda juga berpeluang untuk mengenali budaya serta adat tradisi masyarakat setempat, selain dapat mengeratkan lagi hubungan serta kerjasama di antara ibubapa dan pihak sekolah terutama warga pendidik, ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Bintulu itu turut mengumumkan geran Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Mawang bagi menaiktaraf dan membaikpulih prasarana sekolah tersebut.

Pegawai Pendidikan Daerah Sebauh, Tero Bayel, Yang Dipertua PIBG SK Bukit Mawang, Entiri Anak Anding dan Penolong Kanan Pentadbiran SK Bukit Mawang, Doris Amoi Anak Labu hadir sama.

SK Bukit Mawang mempunyai 37 murid merangkumi Tahun 1 hingga 6 termasuk kanak- kanak tadika, sepuluh tenaga pengajar serta tujuh staf sokongan.

SELAMAT HARI GURU….Tiong bersama- sama Tero, Entiri dan Doris memotong kek simbolik sambutan Hari Guru 2019 Peringkat SK Bukit Mawang, Sebauh.

 

GIMIK….Tiong menyembur papan sebagai gimik perasmian sambutan Hari Guru 2019 Peringkat SK Bukit Mawang, Sebauh.

 

 

Suara Sarawak