LIMBANG: Guru akan mainkan peranan dalam memberi kesedaran politik kepada pelajar.
Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, hal ini selaras dengan kelulusan Dewan Rakyat baru-baru ini di mana memberi peluang kepada remaja seawal umur 18 tahun untuk mengundi serta menjadi calon wakil rakyat.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan mungkin akan mencari kaedah untuk mewujudkan mata pelajaran politik di peringkat sekolah-sekolah khususnya sekolah menengah.
“Guru akan menjadi barisan hadapan dalam menjayakan agenda kerajaan ini dalam memberi kefahaman serta gambaran awal kepada mereka (pelajar) tentang politik,” katanya semasa merasmikan program PSKPP Daerah Limbang 2019 di sini, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Matzinan Wahid, Pengetua SMK Seri Patiambun merangkap penganjur PSKPP 2019 Ahmad Melan dan barisan guru-guru besar.
Hasbi turut menegaskan agar sekolah tidak dijadikan medan untuk berpolitik namun dijadikan tempat untuk menuntut ilmu.
“Seperti kita sedia maklum, tujuan sekolah diwujudkan adalah tempat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
“Sebagai guru, berikanlah didikan dengan cara betul agar dapat melahirkan generasi pelapis yang akan menjadi pewaris dalam memimpin negara kelak,” ujarnya.
Beliau percaya, dengan pindaan undang-undang baru ini akan memberi cabaran baru kepada golongan pendidik.
“Namun diharapkan semangat juang untuk terus mendidik tidak akan luntur walaupun sedikit demi kepentingan anak bangsa,”katanya.