Guru cuma perlukan sokongan

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) memohon masyarakat menghentikan tohmahan dan tuduhan yang tidak membina terhadap guru semasa dilanda wabak pandemik ini.
Presidennya Adam Prakash Abdullah berkata, STU telah berusaha berbincang dengan pihak berwajib berkaitan pembukaan sekolah pada 20 Januari lalu setelah mendengar rayuan dan kemarahan masyarakat kerana dikatakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengambil berat tentang keselamatan pelajar sekolah.
“Kita tahu ibu bapa risau akan keselamatan anak-anak mereka ke sekolah dan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan KPM berkaitan pembukaan sekolah memihak kepada ibu bapa ini.
“Namun, STU juga memohon agar masyarakat memberi sokongan kepada pihak guru dan menghentikan tohmahan bahawa guru ini sekadar makan gaji buta,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.
Tambah beliau, guru juga adalah sebahagian daripada barisan hadapan dalam suasana persekolahan pada waktu pandemik Covid-19 ini.
“Sekiranya tiada penghargaan yang boleh diberikan kepada guru, STU memohon agar pihak di luar sana tidak melontar sebarang komen yang melemahkan semangat guru.
“Masyarakat perlu memahami betapa sukarnya menjadi guru kerana ibu bapa sendiri merasai tekanannya apabila bersama anak-anak 24 jam pada setiap hari,” katanya. Dalam pada itu, beliau memohon agar masyarakat turut memberi sokongan kepada pihak guru kerana apabila guru perlu berada di rumah dan mengajar dari rumah, kerja mereka sebenarnya menjadi lebih rumit dan lebih sukar.
Menurutnya, kaedah penyampaian perlu diubah suai dan lebih penting lagi kesukaran untuk memastikan semua pelajar menyertai pembelajaran dan berjaya menguasai isi pelajaran.
“Guru menjadi lebih sibuk di rumah kerana mereka bukan sahaja fokus kepada anak didik di luar tetapi perlu mengurus anak mereka yang juga belajar di rumah.
“Malah, guru bertungkus lumus menyediakan bahan pembelajaran dalam talian dan ini mengambil masa yang lama. Terdapat guru yang bekerja melebihi waktu kerja di sekolah kerana begitu banyak persediaan yang perlu dibuat.
“Kita harus bersyukur bahawa guru masih mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik walaupun dalam norma baharu,” tambahnya.