
MUKAH: Seorang guru lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Setia 2, Mukah, hari ini.
Mangsa, 57, maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman, manakala kereta mengalami kemik bahagian hadapan kiri.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan (DSP) Mohamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta Toyota Vios itu kira-kira jam 3.02 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa bergerak lurus dari arah Masjid Setia Raja menuju ke Simpang 4 Jalan Wawasan, ketika melalui Jalan Setia 2 hilang kawalan kemudiannya terbabas di bahu jalan lalu masuk ke dalam parit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Hospital Mukah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendedahkan bahawa cuaca pada masa kejadian baik dan struktur jalan raya adalah lurus.
Sehubungan itu, kenderaan mangsa dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, manakala tubuh mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.