
KUCHING: Seorang guru lelaki di sebuah kolej vokasional mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki.
Tertuduh berusia 54 tahun membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu dengan memegang kemaluan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah vokasional, di sini kira-kira jam 12.05 tengah hari, 15 April lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Difahamkan, pengadu merupakan ibu mangsa membuat laporan polis selepas anaknya menceritakan kejadian yang berlaku.
Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili seorang peguam.
Pihak pendakwaan menyatakan tiada jaminan ditawarkan kerana menggelakkan tertuduh melakukan kesalahan berulang terhadap mangsa atau mangsa lain serta menggelak daripada melarikan diri.
Namun demikian, Peguam Roland Thomas yang mewakili tertuduh memohon agar dia dibenarkan diikat jamin kerana anak guamnya mempunyai rekod cemerlang semasa bertugas sebagai guru.
Selain itu, tertuduh kini masih tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya di kediaman mereka di Jalan Haji Baki.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 tidak didepositkan beserta dua orang penjamin tempatan yang beralamat tetap.
Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 27 Jun depan.