
KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) menyasarkan seramai 100 penderma menyertai Kempen Derma Darah di Pasar Raya Farley Kuching di sini.
Kempen dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Farley Kuching tersebut dianjurkan sempena sambutan Jubli Emas SABERKAS ke-50 tahun ini.
Naib Presidennya, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Abdul Rauf berkata, ia adalah salah satu program daripada keseluruhan 727 program yang dirancangkan sempena Sambutan 50 tahun Jubli Emas SABERKAS.
“Kempen ini juga bagi membantu HUS yang memerlukan sebanyak 70 unit bekalan darah sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian mewakili Presiden Saberkas merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Pasar Raya Farley Kuching di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, kempen itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kebaikan menderma darah dan menanam sifat keperihatinan terhadap penderitaan insan yang memerlukan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin.