Hab kulinari halal pertama

SIBU: Taman Selera Harmoni Sibu di sini akan menjadi hab kulinari halal pertama dan terbesar di zon tengah, dan yang kedua selepas zon halal diisytiharkan di Taman Selera Lundu pada Jun 2020.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Bujang Zainuddin Abdul Majid berkata, ia merupakan inisiatif Menteri Muda Kerajaan Tempatan Dr Annuar Rapaee dan Pengerusi MPS Clarence Ting dengan kerjasama Unit Pembangunan Halal Jabatan Agama Islam Sarawak untuk menjadikan Taman Selera Harmoni Sibu sebuah hub kulinari halal pertama di sini.

Menurutnya, Persatuan Peniaga Islam Taman Selera Harmoni Sibu juga sebelum ini meletakkan matlamat yang sama.

“Sebelum ini mereka telah berusaha sejak beberapa tahun lalu dengan memperkasakan peniaga dengan penganjuran Kursus Pengendali Makanan dan Suntikan Antityphod bagi mematuhi Akta Makanan 1983.

“Sekiranya inspirasi ini berjaya, Taman Selera Harmoni Sibu merupakan Medan Selera Kedua di Sarawak selepas Medan Selera di Lundu mendapat pensijilan zon halal dan menjadi medan selera terbesar di Sarawak yang mendapat pengiktirafan tersebut.

“Kita menjangkakan pensijilan halal tersebut berjaya dimiliki peniaga Taman Selera Harmoni Sibu selewat-lewatnya awal tahun 2021,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Bujang memberitahu, pihaknya kini dalam proses pengumpulan maklumat peng-usaha gerai bermula 27 November lalu hingga 6 Disember ini dan permohonan halal akan dibuat 7 sehingga 12 Disember depan.

“Setelah pembayaran fi dibuat, pengauditan pensijilan akan dibuat antara 17 hingga 26 Disember dan menunggu kelulusan halal selewat-lewatnya pada 7 Januari 2021 sekiranya tiada kesalahan ketika audit dilaksanakan,” kata beliau lagi.

Semalam seramai 47 peniaga di Taman Selera Harmoni menghadiri Sesi Taklimat Pensijilan Halal Bagi Zon Halal Taman Selera Harmoni Sibu di Dewan Baitulmal Kompleks Islam Sibu.