ARTIKEL

Gambar hiasan.

Had laju dikurangkan sempena perayaan Aidilfitri – KKR

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Had laju di jalan persekutuan seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) bermula 8 hingga 14 April ini sempena perayaan Aidilfitri.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan, sepanjang tempoh itu, had laju di jalan persekutuan diturunkan kepada 80 km/j berbanding 90 km/j.

Kementerian itu memaklumkan pengurangan sementara had laju selama seminggu berkenaan antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

Kenyataan itu menyebut KKR pada tempoh sama menjalankan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena dengan Aidilfitri ini.

Pihak konsesi jalan persekutuan juga diberitahu untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali bagi kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan.

“Bagi lebuh raya pula, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula dari 1 hingga 17 April 2024.

“Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR serta pendekatan seluruh rakyat dan negara untuk semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutama di jalan persekutuan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU