
KUCHING: Usaha mengeratkan perpaduan menerusi kempen derma darah oleh Persatuan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) mendapat perhatian selepas orang awam mulai membanjiri pekarangan tingkat dua pusat beli-belah City one, hari ini.
Tinjauan Suara Sarawak ke lokasi mendapati orang ramai mulai mengerumuni tempat pendaftaran seawal jam 11 pagi untuk tidak melepaskan peluang menyertai kempen sekali gus memeriahkan suasana di lokasi program.

Presiden PPIS merangkap pengerusi program, Manjeet Sidhu memberitahu, kempen derma darah anjuran kali kedua pihaknya di lokasi itu jelas menunjukkan penerimaan positif dalam kalangan orang awam tidak mengira umur dan latar belakang.
“Kita mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama atau sebagainya untuk hadir bagi sama-sama menderma darah untuk golongan yang memerlukan.
“Terima kasih kepada semua (masyarakat yang menyokong usaha kita dalam membantu pihak bank darah untuk mendapatkan bekalan darah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama kakitangan program yang lain di lokasi derma darah bagi membantu pengurusan program berjalan lancar di sini, hari ini.
Bercerita mengenai program, Manjeet mendedahkan antara perkara baharu yang ditambah adalah pameran-pameran khas mengenai kebaikan aktiviti derma darah serta aktiviti kebajikan yang disertai oleh pihaknya kepada masyarakat.
Selain itu katanya, para penderma juga akan diberikan penghargaan berupa barangan dapur seperti telur, pek minuman dan sebagainya.
Setakat jam 12 tengah hari, difahamkan pendaftaran penderma telah melebihi setengah daripada jumlah sasaran 100 penderma bagi program terbabit.
Dalam perkembangan sama, Manjeet menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan pusat beli belah City One kerana banyak menyumbang bagi menjayakan program berjalan lancar.