AKHBAR memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan jumlah penerbitan karya eceran iaitu puisi, pantun, gurindam, syair serta cerpen.
Karyawan sastera sering menggunakan akhbar sebagai saluran untuk menyebarkan karya mereka.
Bagi penulis muda pula (istilah Sarawak penulis yang baru mula menulis walaupun sudah berusia 80 tahun), sering mendapat pengenalan pertama melalui penulisan kreatif dalam akhbar.
Mereka boleh mula dengan menulis cerita pendek atau ulasan.
Dan, ramai kalangan karyawan sastera hebat hari ini juga bermula dengan menghantar karya kepada editor ruangan sastera akhbar.
Sekali terbit, ia menerbitkan semangat untuk terus berkarya dan berkarya.
Atas sebab ini, banyak akhbar turut menyediakan ruang khas untuk karya sastera.
Di Sarawak sendiri, ada beberapa akhbar turut menyediakan ruang khas untuk karya sastera, termasuk sebuah akhbar berbahasa Cina — kerjasama dengan DBP Cawangan Sarawak.
Ruang ini diwujudkan atas saranan Sasterawan Sarawak Jong Chian Lai, yang rindu hendak berkarya dengan karyawan Cina.
Dan, sekarang karyawan sastera turut mempunyai banyak pilihan untuk menghantar karya.
Suara Sarawak sendiri turut memainkan peranan dalam menyediakan ruang khas untuk penerbitan karya sastera.
Sejak awal penubuhan syarikat akhbar ini, Suara Sarawak turut menitikberatkan ruangan sastera kerana mempunyai pengikut yang ramai.
HADIAH UNTUK KARYAWAN SASTERA
Ruang ini adalah hadiah kepada karyawan sastera, bukan sahaja di Sarawak, malah untuk karyawan dari Sabah, Labuan serta Semenanjung Malaysia. Malah, juga ruang untuk karyawan sastera dari Brunei dan Indonesia untuk berkarya di Bumi Kenyalang melalui Suara Sarawak.
Walaupun masih baru selepas kali pertama menemui pembaca pada 1 Mac 2019, Suara Sarawak telah membantu menerbitkan banyak karya sastera — puisi, cerpen, cerita kontot (certot) atau cerita anekdot (cerdot) Melihat kepada jumlah puisi serta cerpen yang disiarkan pada setiap minggu, Suara Sarawak yakin telah membantu ramai karyawan sastera memasyarakatkan karya masingmasing.
Berdasarkan kiraan, Suara Sarawak membantu menyiarkan sebanyak 312 puisi sepanjang tahun iaitu enam puisi setiap minggu, 24 puisi sebulan (iaitu masing-masing 156 puisi melalui Sanggar Puisi dan Kidung Pujangga.
Seterusnya, membantu menyiarkan empat cerpen sebulan, yang bermakna sebanyak 52 cerpen disiarkan sepanjang tahun.
Melihat dalam tempoh dari tahun 2020 hingga 2023, dijangkakan sebanyak 1,248 puisi akan disiarkan. Ini termasuk karya yang disiarkan pada September, Oktober, November dan Disember tahun ini.
Dan, jangkaan untuk menyiarkan sebanyak 208 cerpen untuk tempoh yang sama (2020 hingga 2023). Jumlah yang sama dijangka untuk karya certot/cerdot iaitu 52 karya sebulan dan sebanyak 208 karya untuk tempoh empat tahun.
Kalau hendak dibukukan, sekurang-kurangnya sebanyak 34 hingga 35 judul antologi puisi (untuk 30 hingga 35 puisi) dapat diterbitkan daripada 1,248 puisi yang diterbitkan sejak tahun 2020 hingga hujung tahun ini.
Dan, untuk cerpen, sebanyak 20 antologi cerpen boleh diterbitkan dengan memuatkan 10 cerpen dalam satu buku. Jadi, berdasarkan kiraan karya puisi dan cerpen yang disiarkan di Suara Sarawak boleh membentuk 55 judul buku.
GIAN BERKARYA
Bukan berapa banyak jumlah buku hendak diterbitkan difikirkan, tetapi jumlah itu menunjukkan karyawan Malaysia, terutama karyawan Sarawak sebenarnya tengah gian hendak berkarya.
Seorang karyawan, yang juga rakan saya ada memaklumkan.
“Sebenarnya ada banyak karya yang hendak ditulis dan dihantar ke Suara Sarawak, tetapi selalu sangat karya keluar.
Berilah orang lain dulu,” katanya ditanya bila hendak karya lagi. Bermakna, tindakan kami mewujudkan ruang untuk karya sastera mendapat maklum balas positif.
Semakin ramai yang menghantar karya untuk diterbitkan, walaupun terpaksa menunggu giliran penerbitan disebabkan jumlah karya diterima meningkat.
Saya berpandangan, karyawan kita sebenarnya masih mahu berkarya.
Mungkin lima atau 10 tahun lalu, ruang untuk menyiarkan karya di akhbar agak terbatas.
Tetapi, kini ruang sudah terbuka luas kepada mana-mana karyawan.
Sekali gus, situasi ini menjelaskan bahawa Sarawak sebenarnya tidak kekurangan karyawan sastera.
Bukan sahaja orang lama/senior, malah penulis baharu juga tidak ketinggalan untuk terus berkarya.
KUALITI
Puisi-puisi yang disiarkan pernah dipersoalkan kerana tidak berkualiti sama ada dari segi bentuk puisi, tema, persoalan serta pengajaran. Pernah dikatakan pemuisi itu sebagai syok sendiri.
Apa-apa pun, sudah menjadi kebiasaan bagi mereka yang mungkin baru menghasilkan satu, dua atau tiga puisi nampak kurang berkualiti.
Setelah bertahun-tahun menghasilkan puisi atas semangat ada puisi pernah disiarkan di akhbar, maka lama-kelamaan puisi itu akan bertambah mantap.
Jadi, untuk memastikan karya tersebut mantap, mereka memerlukan bimbingan.
Dan ketika menjadi pemakalah Wacana Ilmu: Penerbitan dalam Era Malaysia Madani sempena Seminar 60 tahun Sarawak Maju Makmur di DBP Cawangan Sarawak semalam, saya mengetengahkan tentang kepentingan esei kritikan diterbitkan di akhbar.
Kami berharap dapat bekerjasama dengan DBP mewujudkan ruangan khas untuk esei kritikan, sekali gus akan dapat melahirkan lebih ramai pengkritik sastera dari Sarawak.
Saya yakin dengan adanya ruangan ini, ia akan dapat membantu lebih ramai karyawan sastera baharu mengetahui kekuatan serta kelemahan karya masing-masing melalui kritikan membina.
Apa-apa pun, ini sumbangan Suara Sarawak kepada karaywan Malaysia.
Memetik kata Sasterawan Sarawak Zainal Abidin Suhaili, ruangan sastera dalam akhbar Suara Sarawak telah memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan dunia penulisan sastera di Bumi Kenyalang ini.
“Ruangan ini banyak berjasa memberikan ruang dan peluang kepada para penulis Sarawak sama ada yang baharu, muda dan mapan untuk menyiarkan karya mereka.
“Para penulis Sarawak kini mempunyai tempat yang selesa untuk menyiarkan karya seperti sajak, certot dan cerpen serta dapat dinikmati oleh masyarakat pembaca,” katanya.
