Hagia Sophia kini diiktiraf sebagai masjid

ISTANBUL: Bangunan ikonik Turki, Hagia Sophia yang dijadikan muzium sejak 1934 kini bertukar status menjadi sebuah masjid.

Jumaat lalu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan Hagia Sophia, satu daripada keajaiban seni bina dunia dibuka semula kepada umat Islam.

Pengisytiharan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Turki menarik balik status monumen itu sebagai muzium. Dalam ucapannya, Erdogan berkata, solat pertama di Hagia Sophia berlangsung pada 24 Julai ini.

“Dengan izin Tuhan, kita bersolat Jumaat bersama-sama pada 24 Julai dan membuka semula Hagia Sophia kepada penganut Muslim,” katanya sambil menambah seperti masjid lain, Hagia Sophia juga dibuka luas kepada penduduk tempatan serta warga asing termasuk bukan Muslim.

Tapak bersejarah warisan dunia yang diiktiraf Unesco itu, tarikan pelancong seluruh dunia dan pertama kali dibina sebagai Katedral Kristian pada empayar Byzantine.

Bangunan itu kemudian ditukar kepada masjid selepas penaklukan Uthmaniah pada 1453 serta muzium pada 1934. Tahun lalu, sekitar 3.8 juta pelancong melawat monumen itu.

Pembatalan keputusan kabinet Turki pada 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, diputuskan Majlis Negara iaitu mahkamah pentadbiran tertinggi Turki, selepas turut mengambil kira monumen itu yang didaftarkan sebagai masjid dalam daftar hartanahnya.

Keputusan berkenaan menimbulkan ketegangan bukan hanya dengan Barat dan Greece, termasuk Rusia. – AFP