Haiqal lepasi cabaran getir

KUCHING: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, ia pencapaian terbaik sejak 2016. Seramai 338,659 calon layak menerima sijil SPM 2020 manakala 9,411 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A dalam semua mata pelajaran.

Suara Sarawak berkesempatan menemu bual salah seorang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang semalam bagi mendapatkan reaksi selepas peperiksaan itu terpaksa tertangguh sejak tahun lalu.

Salah seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong, Haiqal Hazwan Mohd Hanafi berkata, dirinya cukup gembira apabila mendapat keputusan cemerlang dengan 8A 1C.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan membuat persediaan SPM dalam keadaan Covid-19 amat mencabar sehingga menyebabkan dia hampir hilang semangat untuk belajar.

“Halangan seperti kurangnya capaian jaringan Internet untuk meneruskan pembelajaran dalam kaedah baharu.

“Bukan itu sahaja, kekurangan gajet seperti komputer riba menyebabkan saya perlu berkongsi komputer riba dengan yang lain untuk meneruskan pembelajaran.

“Selain itu, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia menyebabkan sesi pembelajaran tahun lalu tergendala dan jadual belajar juga tidak menentu,”
katanya ketika dihubungi.

Walaupun berhadapan halangan dan cabaran semasa membuat persediaan peperiksaan, namun ketekunan dan keinginan untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan menyebabkan Haiqal tidak berputus asa begitu sahaja.

“Motivasi saya datang daripada ketekunan guru mendidik walaupun terpaksa menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Malah, dorongan ibu bapa dan rakan-rakan membuatkan saya kekal tekun untuk meneruskan
pembelajaran dalam keadaan norma baharu,” jelasnya.

Selepas menerima keputusan yang begitu menggembirakan itu, Haiqal berharap dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang angkasawan.

Suara Sarawak