ARTIKEL

Haji 1445H: Seramai 5,790 jemaah haji tiba di tanah suci

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAKKAH: Sehingga semalam seramai 5,790 orang daripada 31,600 jemaah haji yang mendapat tawaran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu, telah selamat tiba di Tanah Suci Makkah dan Madinah dengan menaiki 22 penerbangan yang disewa khas Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, 4,403 jemaah haji kini berada di Madinah.

Manakala, seramai 1,387 jemaah haji telah sampai di Makkah bermula 14 Mei 2024.

“Alhamdulillah operasi haji untuk musim ini yang bermula pada 9 Mei, terus berjalan dengan baik dan lancar, sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci.

“Jemaah haji KT1 hingga KT5 yang kini berada di Makkah, juga telahpun selesai melaksanakan ibadah umrah dan TH telah merangka pelbagai aktiviti dan sesi bimbingan semasa mereka menanti hari untuk berwukuf di Arafah (15 Jun) nanti,” katanya dalam sidang media bersama petugas media di Ibu Pejabat TH di sini semalam.

Beliau berkata, sebanyak 100 penerbangan sewa khas yang digunakan untuk membawa semua jemaah haji Malaysia dengan 47 penerbangan, dijadual mendarat di Madinah manakala sebanyak 53 penerbangan lagi tiba di Jeddah yang mana jemaah haji akan dibawa terus masuk ke Makkah.

Sebanyak lapan stesen berlepas digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan penerbangan terakhir dijangka pada 9 Jun.

Sementara itu, pada malam semalam, seramai 301 lagi jemaah haji daripada kumpulan KT08 tiba di Makkah Hotel Land Perium dari Madinah, dengan menaiki tujuh buah bas. 

Ketibaan mereka disambut oleh Syed Saleh, Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff, pihak pengurusan dan petugas TH, serta pihak hotel.


Dalam perkembangan lain, Syed Saleh memaklumkan seramai lima jemaah haji Malaysia kini sedang dirawat, dengan empat daripadanya sedang menerima rawatan di Pusat Rawatan Madinah, manakala seorang lagi di Pusat Rawatan Syisya di Makkah.

Dua daripadanya mengalami patah tangan dan ibu jari kaki, manakala selebihnya mengalami masalah jantung dan jangkitan kuman.

Sehubungan itu Syed Saleh menasihatkan supaya jemaah haji sentiasa menjaga kesihatan masing-masing dan berhati-hati dalam apa juga tindakan seharian, agar aktiviti beribadah dapat dilakukan dengan baik sehingga balik ke tanah air nanti.

“Semua jemaah diingatkan untuk mengambil makanan seimbang dan minum air yang mencukupi untuk mengekalkan hidrasi, dalam berhadapan dengan cuaca panas agar mereka kekal sihat untuk meneruskan aktiviti ziarah, berjalan ke masjid serta ibadat umrah dan haji seperti yang dirancang,” katanya.  – Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

‘Strongman Challenge’ tarik minat orang awam

KUCHING: Penganjuran pertandingan ‘Strongman Challenge’ dapat menggalakkan gaya hidup sihat dan minda yang kuat dalam kalangan anggota polis serta orang awam. Komandan Pulapol Kuching, SAC