ARTIKEL

Haji furada: Syarikat pelancongan diperintah bayar RM634,000 kepada 25 bekas pelanggan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan syarikat pelancongan Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd (HSTT) membayar baki bayaran pakej haji menggunakan visa furada berjumlah RM634,000 kepada 25 bekas pelanggannya.

Mereka terdiri daripada kumpulan 15 individu yang telah berlepas ke Jeddah selepas menerima e-visa, namun terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz kerana visa terbabit ternyata palsu.

Manakala 10 lagi belum berlepas kerana tidak menerima e-visa walaupun sudah menjelaskan semua bayaran pakej haji dalam insiden pada 2019.
Menerusi keputusan yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan kesemua 25 individu selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutan ke atas syarikat itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan.

Loke turut menolak tuntutan balas defendan iaitu ganti rugi sebanyak RM479,350 dan memerintahkan syarikat itu membayar kos RM75,000 kepada kesemua plaintif.

Peguam Khairun Niza Husnin, yang mewakili kesemua plaintif, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, kesemua plaintif lega dan bersyukur dengan keputusan itu dan berharap pihak pengurusan HSTT dapat menguruskan bayaran penghakiman seperti yang diarahkan.

“Ini kerana ada plaintif daripada golongan tua, tidak lagi bekerja dan berpendapatan rendah serta mereka hanya menuntut hak mereka berikutan kemungkiran kontrak di pihak HSTT,” katanya.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh menerusi Tabung Haji. 

Menerusi saman yang difailkan pada Ogos 2020, plaintif mendakwa sekitar 2019, mereka dipelawa menyertai pakej haji furada bagi tahun itu dan diberikan jaminan bahawa wang dipulangkan sekiranya pakej itu gagal.

Kesemua plaintif kemudian membayar pakej masing-masing yang secara keseluruhannya berjumlah RM795,000.

Pada 31 Julai 2019, defendan memaklumkan e-visa dikeluarkan kepada sebahagian jemaah termasuk 15 plaintif.

Manakala mereka yang tidak menerima visa mendakwa dipelawa mendapatkannya melalui kuota Visa Raja Salman dengan membayar RM7,000 setiap seorang.

Jemaah yang menerima e-visa memulakan perjalanan ke Jeddah pada 5 Ogos 2019 tanpa diiringi mutawif.

Bagaimanapun, sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, kesemua jemaah termasuk 15 plaintif gagal melepasi kaunter Imigresen selepas imbasan terhadap e-visa terbabit memaparkan identiti individu berbeza.

Selepas 24 jam ditahan dan terpaksa tidur di atas lantai serta kerusi, kesemua jemaah diarah pulang ke Malaysia pada 7 Ogos 2019 selain wajib melaksanakan tahallul Ihsar (denda) kerana tidak dapat menyempurnakan ibadah haji yang telah diniatkan. – Bernama

BERITA LAIN

Hari Wesak disambut meriah seluruh negara

KUALA LUMPUR: Hari Wesak disambut meriah di seluruh negara dengan ribuan penganut Buddha memenuhi tokong di negeri masing-masing sejak awal pagi ini. Di Kuala Lumpur,

BERITA TERBARU

Hari Wesak disambut meriah seluruh negara

KUALA LUMPUR: Hari Wesak disambut meriah di seluruh negara dengan ribuan penganut Buddha memenuhi tokong di negeri masing-masing sejak awal pagi ini. Di Kuala Lumpur,